Monday, March 9, 2015

Surat Sultan Perak kepada Francis Light (MS40320/11 folio 33) 26 Oktober 1787, 13 Muharam 1202 Tahun Dal Akhir tentang penghantaran Raja Bayang dan Raja Lela ke Pulau Pinang

Al-Shams wa al-Qamar

Ini surat tulus dan ikhlas serta suci putih hati yang tiada berhingga dan berkeputusan, daripada kita Maulana Paduka Seri Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda Khalifah al-Rahim Johan Berdaulat Zillullah fi al-‘Alam yang di atas singgahsana kerajaan dan kebesaran dalam negeri Perak Darul Ridhwan. Barang disampaikan Tuhan semesta sekalian alam apalah kiranya pada sahabat kita, Gurnador yang memerintahkan tadbir kebesaran kompeni dalam negeri kota Pulau Pinang, yang arif bijaksana pada hal jalan melakukan kesukaan dan muafakat serta berkasih-kasihan, antara kita kedua pihak ini akan menjadi kebajikan di atas negeri. Maka masyhurlah khabarnya pada masyriq dan maghrib menolongi hamba Allah yang kesakitan pada ketika zaman ini sahabat kita Gurnador berbuat baik. 

Syahadan kemudian daripada itu, maka adalah kita memberi tabik pada sahabat kita menyuruhkan Raja Bayang dan Raja Lela Sutan mari pada sahabat kita, ada empat lima buah perahu pada sahabat kita ke Pulau Pinang ini. Kita minta tolong bicarakan beras pada sahabat kita Gurnador. Jikalau ada, boleh lima enam hari ini juga sahabat kita suruhkan Raja Bayang dan Raja Lela Sutan ini pulang mari pada kita oleh kerana kita tengah kesakitan kurang belanja beras. Dan lagi, jikalau ada sakit sukarnya Raja Bayang dan Raja Lela Sutan serta teman-temannya itu, sahabat kita tolong perbalakan daripada segala baginya dan jual belinya semuanya itu, dengan tolong sahabat kita juga daripada sekalian baginya, dengan berkat Tuhan seru sekalian alam, sahabat kita Gurnadorlah yang kita harap, tiada dua tiga lagi harapan kita di Pulau Pinang ini. 

Ahwal maka suatu pun tiada apa burhan al-ikhlas daripada kita, hanyalah timah tiga biji keping, tiada ada dengan sepertinya, tanda harap juga adanya. Kita minta terima dengan suka hati. Intaha al-kalam. 

Pergi surat pada hari Jumaat, tiga belas hari bulan Muharam tahun dal akhir, sanah 1202.

No comments:

Post a Comment