Monday, March 9, 2015

Surat Sultan Selangor kepada Francis Light (MS40320/11 folio 39) 3 April 1786 meminta tolong dihantarkan orang menunaikan haji dengan kapal

al-Shams wa al-Qamar

Bahawa ini warkah al-ikhlas yang terbit daripada hati yang putih lagi jernih, iaitu daripada hadrat Maulana al-Sultan Ibrahim, raja yang memerintah di dalam bandar negeri Selangor Darul Khusus, barang disampaikan Tuhan seru sekelian alam kepada sahabat kita Gobernador Mister Light yang memegang perintah kompeni Inggeris di dalam bandar kota Pulau Pinang yang telah masyhur namanya kepada segala negeri yang di Barat dan negeri yang di Timur, dan lagi mengasih orang yang miskin dan anak dagang yang keluar masuk di dalam bandarnya, amma ba’d.

Maka, ada pun kemudian daripada itu, akan ahwal kita melayangkan sekeping surat menyatakan tanda tulus dan ikhlas kepada sahabat kita kerana tiada jua kita menaruh lupa akan sahabat kita seperti bersahabat dahulu hingga sampai sekarang jua adanya. Maka, sekarang ini kita minta tolong kepada sahabat, ada paderi kita bernama Haji Kasim serta membawa anak-anak dua orang, hendak naik haji ke negeri Makkah, minta tolong tumpangkan. Jikalau ada kapal (kompeni) atau negeri lain, boleh lekas dapat kapal ke negeri Mukha atau negeri Judah itu, kita minta tolong kepada sahabat kita. Ahwal itulah adanya. 

Tamat al-kalam. Tersurat pada hari Isnin, pada enam haribulan Jamadil Akhir, sanah 12.

No comments:

Post a Comment