Tuesday, May 12, 2015

Surat Sultan Abdullah Mukarram Shah Kedah kepada Francis Light (MS40320/10 folio 41) berkenaan surat dari Gabenor Jeneral di Benggala yang diminta untuk dijawikan serta hadiah daripadanya berupa pistol dan senapang

Al-Mustahaqqah

Surat kasih sayang serta tulus ikhlas yang tiada berkesudahan daripada beta sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang.


Bahawa maka inilah anak beta itu Cik Awi beta suruh pergi terima ambil opium sepuluh peti serta bawa harganya seperti kata sahabat beta pada anak beta itu, boleh anak beta itu bawa mari.

Demikian lagi akan surat Jenderal dari Benggala, itu pun beta beri pergi pada anak beta itu, pinta sahabat beta terima ambil, suruh jawikan, beri mari pada anak beta itu, boleh beta hendak ketahui kerana orang yang tahu membaca surat bahasa Fransi itu sudah tiada di dalam negeri ini. 

Sebermula adalah pistol senapang kiriman Jenderal Benggala akan beta serta dengan segala hadiah itu, maka itulah pistol itu beta beri pergi pada anak beta itu jadi hadiah beta akan sahabat beta, kerana beta tiada pakai pistol, seperti senapang dan pemuras itulah yang beta pakai. Akan cermin mata hadiah sahabat beta itu, kurang cerahnya sedikit. Maka itulah beta nyatakan sahabat beta.

Perbuat surat enam belas haribulan Jamadil Awal, hari Sabtu. Tamat.

[Di belakang surat]

Ini surat Yang Dipertuan Kedah.

No comments:

Post a Comment