Monday, July 6, 2015

Surat Sultan Abdullah Mukarram Shah kepada Francis Light (MS40320/11 folio 11) 12 Jamadil Awal 1206 Tahun2 Alif, 7 Januari 1792 berkenaan kes rompakan orang-orang Cina di Pulau Sayak dan rompakan sampan di Kuala Muda

Al-Mustahaqqah

Surat tulus ikhlas berkasih-kasihan, muafakat yang tiada berkesudahan, daripada beta mari sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang yang baik budi bahasa kepada pihak bersahabat senantiasa.

Kemudian dari itu, barang tahu sahabat beta akan surat kertas daripada sahabat beta menyatakan adalah orang Cina duduk di Pulau Pinang enam orang suatu perahu, membawa dagangan serba sedikit hendak mari ke bandar beta ini. Maka sampai ke Pulau Sayak, berjumpa dengan perahu, orang payar rampas ambil segala artanya. Orang Cina itu mati seorang, lima orang lepas lari ke Pulau Pinang. 

Maka yang demikian itu, nyatalah sahabat beta tulus ikhlas putih hati kasih akan beta ini pada jalan kejahatan hendak beri jadi kebajikan, kesukaan sangatlah beta muafakat suruh periksa Laksamana. Maka kata Laksamana tiada siapa-siapa disuruh payar kerana perahu jaga-jaga sahabat beta sudah ada perintah di laut itu. Maka sudah beta suruh Laksamana periksa siasat cahari orang jahat itu beri timbul, jangan jadi (tega?, ta-kaf) dan perintah samun rompak itu sahabat beta pun tolong cahari periksa kakap lihat, beri timbul dihukumkan orang jahat-jahat di laut ini. 

Maka ada teman beta bawa timah keluar dari Kuala Muda suatu sampan, itu pun dirampasnya ambil timah beta itu. Inilah beta nyatakan pada sahabat beta kerana sahabat beta pun sudah putih hati mari pada beta.

Diperbuat surat pada hari Sabtu, dua belas haribulan Jamadil Awal, pada sanah 1206 tahun-tahun Alif. Tamat al-kalam.

[Di belakang surat]

Yang Dipertuan

No comments:

Post a Comment