Wednesday, October 28, 2015

Surat Long Ismail kepada Francis Light (MS40320/3 folio 27) berkenaan penghantaran rakannya ke Singgora untuk mengutip hutang

Qawluhu al-Haq wa Kalamuhu al-Sidq

Kasih sayang yang tiada berputusan selagi ada perkitaran cakerawala matahari dan bulan daripada cucunda Long Ismail datang kepada nenda Gurnador Pulau Pinang yang telah masyhur gah kepujian pada segenap negeri timur dan barat, sangat pandai memerintah laut dan darat, lagi arif bijaksana dan dermawan.


Kemudian daripada itu ahwal maka adalah cunda hendak suruh teman pergi menunggu piutang cunda pada Cina2 di Singgora. Maka inilah cunda pinta opium pada nenda barang dua peti, boleh cunda hendak beri dibawa oleh teman yang cunda hendak suruh pergi menunggu itu, kalau2 ada untung diberi tuhan Allah boleh labanya, akan jadi belanja teman2 yang cunda suruh pergi itu. 

Sebagai pula, maka ada dua buah perahu cunda siapkan hendak disuruh pergi menunggu hutang cunda pada sebelah timur dibawa orang pergi ke situ dan Batu Bahara. Maka ada cunda dengar khabar banyak konon kapal dari Belayit dan Mandras datang ke Pulau Pinang membawa dagangan. Maka itulah cunda pinta pada nenda kain gajah khura barang tiga kodi dan kain gajah basah yang kasar tiga kodi dan kain hamu dua kodi dan kain putih (ba-fa-ta-alif) tiga kodi dan kain hitam celupan empat kodi dan kain cindai dua kodi dan kalam kari halus sekodi dan sapu tangan kasta benang sekodi, boleh cunda muat perahu itu beri pergi. Pinta nenda tentukan harganya sekalian dagangan itu, serahkan beri pada Saudagar Marikan Kandu, boleh diterima beri mari pada teman cunda yang membawa surat ini, boleh cunda beri perahu cunda ini berlayar segera. 

Maka ada buah durian kiriman cunda akan nenda empat puluh biji, pinta nenda terima ambil dengan suka hati. Ahwal inilah cunda nyatakan.

Perbuat surat sembilan haribulan Ramadhan hari Selasa. Tamat al-kalam.

[MS40320/3 f.27v]
Ini surat Uwan Long Ismail

No comments:

Post a Comment