Sunday, November 29, 2015

Surat Sultan Abdullah kepada Francis Light (MS40320/3 folio 50) berkenaan permintaan wang daripada Siam dan masalah ekonomi di Kedah

Al-Mustahaq

Surat kasih sayang serta tulus ikhlas yang tiada berkesudahan daripada beta Sultan Abdullah sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang. 

Bahawa akan pesan sahabat beta kepada anak beta Cik Awi itu, maka sudahlah disampaikan oleh anak beta itu kepada beta. Maka seperti pesan sahabat beta suruh kukuhkan negeri, tiada boleh dipercaya akan Siam itu, maka sangatlah masuk hati beta hendak turut kerjakan seperti pesan sahabat beta. 

Maka perintah di dalam negeri ini sahabat beta pun telah tahu, kerja sehari sampai sepuluh lima belas hari itu pun tiada jadi. Maka sekarang ini, sebagai datang penyuruh Siam itu pada beta, berbagai2 kehendaknya pada beta, itu pun beta belanjakan juga, pada sekali2 datang penyuruhnya itu dua tiga ribu, sebab beta menanti sahabat beta mari dari Benggala, sampai sekarang ini pun demikian juga kehendaknya pada beta. 

Maka sekarang ini sangatlah kesakitan beta duduk sehari2 ini, hendak mencari belanja seperti kehendak Siam itu kerana kapal Keling pun tiada masuk membeli gajah. Demikian lagi segala perahu2 dagang pun tiada masuk berniaga, sebab itulah beta beri surat dua tiga kali panggil sahabat beta mari, beta hendak adukan segala hal, beta hendak bertutur kata sendiri dengan sahabat beta. 

Maka sahabat beta tiada boleh mari dengan sebab banyak kerja sahabat beta di Pulau Pinang. Maka itulah terlalu susah hati beta. Maka dahulu pun sudah beta nyatakan segala hal keadaan beta kepada sahabat beta. Maka sangatlah harap beta hendak berjumpa adukan hal beta kepada sahabat beta. Inilah beta nyatakan kepada sahabat beta. 

Perbuat surat pada dua haribulan Jamadil Akhir, hari Khamis. Tamat.

[MS40320/3 f.50v]
The King of Queda

No comments:

Post a Comment