Sunday, November 29, 2015

Surat Sultan Abdullah kepada Francis Light (MS40320/3 folio 51) berkenaan masalah orang-orang dari Bernam

Al-Mustahaqqah

Surat tulus ikhlas berkasih-kasihan daripada beta sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang yang telah masyhur perintah keraja kebajikan. 

Kemudian dari itu, barang tahu sahabat beta, maka adalah surat sahabat beta dibawa Syahbandar dan Saudagar Raja itu telah sampailah pada beta. Maka segala tersebut dalamnya itu fahamlah beta. Akan perintah orang Selangor memberi surat akan beta, kata sahabat beta suruh beta fikirkan baik2 itu, sebenar2lah kata sahabat beta itu, tetapi perintah itu bukannya kehendak daripada beta. Sebab pun tiada beta pulangkan orang Bernam itu kerana bukannya tawanan orang Selangor. 

Maka itulah segala perintah asal orang Bernam itu beta suratkan, beri pergi pada sahabat beta, boleh sahabat beta tahu perintah orang Bernam itu. Maka perintah demikian ini pada adat Melayu tiadalah tempat fikir pada beta kerana dahulu pun orang itu pergi dengan kesukaan dirinya, bukan dengan gagah. Maka sekarang ia mari itu pun dengan kesukaan dirinya juga, tiada siapa gagahi. 

Maka segala perintah ini beta hendak beri pergi dahulu pada sahabat beta, khabar orang sahabat beta sakit, dengan sebab itulah tiada beta beri pergi pada sahabat beta kerana di dalam hati beta, jika sahabat beta mari berjumpa dengan beta2, hendak khabarkan pada sahabat beta segala perintah itu. Maka inilah beta beri pergi surat nyatakan pada sahabat beta khabar sedikit dahulu. Maka surat sahabat beta beri mari itu tiada khusus sesuatu bicara. Maka itulah segala perintah itu beta nyatakan pada sahabat beta, boleh sahabat beta beri mari balas dengan khusus kerana beta dengan sahabat beta berkasih kasihan suatu bicara. 

Dan maka akan perintah laut itu pinta sahabat beta suruh jaga baik2, jangan boleh orang jahat rompak samun segala orang jajahan negeri ini. Maka adat orang putih itu sesungguhnya tiada beta ketahui. Maka itulah segala perintah itu beta nyatakan pada sahabat beta tanda kasih putih hati beta. Barang yang tiada suka pada sahabat beta itu pun sahabat beta nyatakan mari dengan putih hati sahabat beta, jangan sahabat beta lindungkan daripada kecil besarnya, boleh beta bicarakan. Inilah beta nyatakan pada sahabat beta. 

Pergi surat lima haribulan Jamadil Awal. Tamat.

[MS40320/3 f.51v]
Recd 25 feby(?) 1787

No comments:

Post a Comment