Tuesday, December 1, 2015

Surat Raja Muda Kedah di Perlis kepada Francis Light (MS40320/3 folio 55) berkenaan penyiasatan kes kematian Haji Ali

Al-Mustahaqqah

Surat tulus ikhlas serta kasih mesra sedia yang tiada berputusan daripada beta Raja Muda yang di atas pekerjaan di kota Indera Kayangan, sampai kepada sahabat beta Gurnador yang di atas kebesaran dan kemuliaan di kota Pulau Pinang yang amat arif bijaksana, telah tergah masyhurlah ke mana2 dari atas angin dan bawah angin, lagi pandai pada jalan berkasih kasihan dengan segala handai taulan dan amat budiman dan setiawan dermawan pada segala fakir miskin. Maka yang demikian itu janganlah berubah2 selagi ada perkitaran cakerawala matahari dan bulan, dengan perangai yang lemah lembut pada pihak kebajikan aktar(?).


Kemudian dari itu barang tahu sahabat beta, ahwal akan surat daripada sahabat beta dua pucuk yang diihtimalkan pada tangan anak Haji Ali itu telah sampailah pada beta dengan sempurnanya. Maka segala yang tersebut dalamnya fahamlah beta. 

Maka perintah kematian Haji Ali, kata dibunuh orang pada tempat jajahan nama Marakat itu lagi, akan beta maklumkan pada ke bawah Duli Yang Dipertuan Yang Maha Mulia dahulu karena segala kerja beta hingga dengan maklum baginda. Sudah maklum, boleh beta suruh periksya orang jahat yang membunuh Haji Ali itu. Apabila sudah tentu orangnya boleh disuruh siasat periksya keluarkan segala arta Haji Ali itu, serta disampaikan pada hukum Allah Taala barang yang lazim. 

Seperkara lagi sahabat beta pinta tolong belikan padi barang seratus koyan itu. Pada tahun ini, padi dalam Perlis dengan segala jajahannya tiada berapa jadi dengan sebab kena penyakit ulat. Maka harga padi rantau dekat sungai pun duduk sehari2 ini dibeli orang kadang empat rial sekunca, kadang empat rial sesuku dua suku tang(?) jauh daripada sungai itu boleh empat tengah empat rial suku, sangat sampaikan ke sungai sebab jauh, tambahan air sungai sebelah ulu kering. Jika sedikit boleh beta tolong. Itu pun jika berbetulan harganya, sahabat beta tentukan mari. Ahwal itulah beta nyatakan.

Tamat al-kalam.

[MS40320/3 f.55v]
Tengku Raja Muda

No comments:

Post a Comment