Wednesday, April 8, 2015

Surat Sultan Abdullah Kedah kepada Francis Light (MS40320/9 folio 6) tentang perahu orang jahat dan permohonan membeli meriam

Al-Mustahaqqah

Surat tulus ikhlas berkasih-kasihan yang tiada berkesudahan daripada beta sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang yang akil bijaksana, telah masyhur ke mana-mana.


Kemudian daripada itu, ahwal adalah perahu jahat-jahat banyak di laut, perbuat huru-hara akan segala perahu-perahu orang ki<...ta?...> tiada boleh pergi mari ke Pulau Pinang dan jajahan negeri beta ini. 

Maka beta hendak suruh lengkapi perahu pergi ke Payar, tiada bermeriam yang kecil-kecil. Itulah beta pinta pada sahabat beta meriam besi kecil-kecil panjang tiga hasta barang sepuluh pasang dengan harga serupa sedikit, serahkan pada Syahbandar Seri Maharaja Paduka beri mari. Maka harganya itu beta bayar dengan timah atau rial. 

Jika tiada had<...ir?...> pada sahabat beta pun pinta dengan penolong sahabat beta, cahari beli pada kapal-kapal yang mari dari Benggala atau sahabat beta pesan pergi suruh cahari beli di Benggala. Tatkala sampai, sahabat beta hantar mari, besarlah penolong sahabat beta itu. 

Maka akan pe(r)kakas kapal tali dan kain layar dan sauh sahabat beta beri mari itu telah sampailah pada beta, sudahlah beta suruh Saudagar Raja terima ambil. Maka harganya itulah beta pinta dengan harga serupa sedikit, sahabat beta buat daftar dengan tentunya beri mari, boleh beta ketahui banyak dikitnya kerana surat sahabat beta beri mari dahulu itu tiada khusus, dengan sebab Hakim Bandar duduk sakit mata, tiada boleh surat. Itulah beta pinta sahabat beta beri mari surat yang khusus. Ahwal itulah beta nyatakan pada sahabat beta.

Buat surat hari Khamis, tiga hari timbul bulan Syaban. Tamat al-kalam. Tamat.

No comments:

Post a Comment