Tuesday, May 5, 2015

Surat Sultan Abdullah Mukarram Shah Kedah kepada Francis Light (MS40320/9 folio 101) tentang 1/10 cukai untuk orang Cina membuat bata di Perai

Al-Mustahaq

Surat tulus ikhlas serta berkasih-kasihan yang tiada berkesudahan daripada beta sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang yang akil bijaksana, telah masyhur ke mana-mana. 


Kemudian dari itu, ahwal adalah beta beroleh khabar Cina-cina buat kerja bata di dalam negeri Perai berjual. Maka perintah adat negeri, segala orang isi negeri ini, jika ada membuat sesuatu kerja yang berfaedah, maka keluar hasilnya, sepuluh seperolehan negeri. 

Maka itulah beta suruh Syahbandar Seri Maharaja Paduka pergi ambil hasil bata itu kepada Cina yang mengerjakan dia. Jika diperbuat pulas, tiada mau beri, pinta dengan penolong sahabat betalah keluarkan beri hasil itu, serah beri mari pada Syahbandar kerana kerja itu tiada dinyatakan oleh Cina itu pada beta. 

Maka sahabat beta pun barang suatu hendak dikerja dalam tempat beta dengan ikhlas putih hati, dinyatakan mari pada beta ia buat kerja demikian tiada dinyatakan. Itulah dinyatakan kepada sahabat beta.

Perbuat surat pada tujuh haribulan Sya'ban. Tamat.

No comments:

Post a Comment