Tuesday, May 12, 2015

Surat Sultan Abdullah Mukarram Shah Kedah kepada Francis Light (MS40320/10 folio 37) berkenaan penerimaan opium, ubat bedil, kain baldu dan meminta dikurangkan harga cermin dan kaki dian

Al-Mustahaqqah

Surat kasih sayang tulus dan ikhlas daripada beta sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang.


Ahwal surat sahabat beta beri mari pada Saudagar Sulaiman itu sudahlah sampai kepada beta. Tersebut dalamnya sahabat beta beri mari pada Saudagar Sulaiman opium empat peti tentu dengan harganya dan ubat bedil macam satu tong tiada tersebut harganya dan senapang macam sepucuk. Maka opium dengan ubat bedil itu sudah sampai beta suruh beta suruh terima. Maka akan senapang macam sepucuk itu tiada sampai kepada beta.

Dan akan hadiah sahabat beta beri mari kain baldu dua gulung, dalam itu merah satu dan hijau satu sudah sampai, beta terima ambil suka hati dan lagi hadiah sahabat beta kain bugis hitam halus dua helai diberi pada Nakhoda Panjang Aceh, itu pun sudah sampai kepada beta. 

Maka akan kaki dian kecil besar tiga puluh enam dan cermin besar sepasang dan cermin kecil tiga pasang, maka harganya sahabat beta sebutkan dalam surat sahabat beta, kaki dian tiga puluh enam itu tujuh puluh dulapan rial tiga suku dan cermin besar sepasang itu enam puluh tengah tiga rial dan cermin kecil tiga pasang itu seratus tengah tiga belas rial, jadi banyak harga kaki dian dengan cermin itu dua ratus lima puluh tiga rial tiga suku. 

Itulah kalau boleh dengan bicara sahabat beta, minta kurangkan harga cermin dengan kaki dian itu. Maka kaki dian itu bukannya tembaga putih asal. Itulah minta sahabat beta bicarakan kurangkan harganya atas sepatutnya. Ahwal itulah beta nyatakan kepada sahabat beta.

Perbuat surat lima haribulan Jamadil Awal, hari Selasa. Tamat.

[Di belakang surat]

King Queda
16 Feby 88

No comments:

Post a Comment