Wednesday, May 6, 2015

Surat Sultan Abdullah Mukarram Shah kepada Francis Light (MS40320/10 folio 36) tentang harga beras, opium dan kain

Al-Mustahaqqah

Surat kasih sayang serta tulus ikhlas yang tiada berkesudahan daripada beta sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang.

Bahawa itulah beras dua belas koyan, beta suruh Maharaja Lela bawa pergi pada sahabat beta, pinta sahabat beta terima ambil, akan harga beras itu beta tolak jadi dalam harga opium yang beta ambil, baki lagi tujuh ratus rial. 

Dalam itu, jika ada lebih harga beras itu daripada tujuh ratus rial itu, sahabat beta serahkan pada Maharaja Lela. Jika tiada cukup tujuh ratus, sahabat beta terima ambil daripada Maharaja Lela itu. Demikian lagi akan belerang dan ubat bedal itu, pinta sahabat beta suruh hantar mari dahulu. 

Bermula jika ada kain yang baik boleh jadi pakaian, barang yang berkenan pada Maharaja Lela, pinta sahabat beta beri mari pada Maharaja Lela, serta tentukan dengan harganya akan meriam kecik-kecik, beta pinta beli. Itu pun jika boleh, pinta sahabat beta beri mari juga pada Maharaja Lela itu. Maka itulah beta nyatakan pada sahabat beta.

Perbuat surat pada dua belas haribulan Muharam, hari Isnin. Tamat.

No comments:

Post a Comment