Thursday, May 14, 2015

Surat Sultan Abdullah Mukarram Shah kepada Francis Light (MS40320/10 folio 47) berkenaan mengirim surat kepada Gabenor Jeneral menyatakan tujuan asal diminta Pulau Pinang ialah sebagai loji baiki kapal perang dan bukan sebagai sebuah negeri

Al-Mustahaqqah

Surat kasih sayang dan tulus ikhlas yang tiada berkesudahan daripada beta kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang.


Adalah surat sahabat beta beri mari dibawa (manusia?) itu telah sampailah pada beta. Maka tersebut dalamnya kata sahabat beta tiada boleh meninggal Pulau Pinang dengan sebab sudah memegang perintah kerja kompeni. Maka perintah itu sesungguhnya kerana kompeni itu orang besar lagi yang amat kuasa, tiada boleh sahabat beta salahkan, sekadar beta menurut perintah awal sahabat beta, mari pada beta pinta Pulau Pinang itu, kata dengan penyuruh Jenderal Benggala hendak bubuh loji kecik tempat singgah baiki kapal perang, tiada dipinta hendak buat negeri. 

Maka daripada harap putih hati beta akan Jenderal orang besar, boleh tempat beta adukan barang hal kekurangan sakit sukar beta dan kasih harap beta akan sahabat beta, sudah putih hati daripada Paduka Marhum. Maka beta nyatakan pada sahabat beta kehendak beta. 

Maka sahabat beta bertangguh dalam enam bulan, hendak nyatakan pergi ke Belayit seperti kehendak beta, boleh hendak tentukan suka tiada suka pada kompeni Inggeris, itulah hendak diturut. Maka sekarang ini lebih kurang tiga tahun sudah beta nanti, dalam itu berapa kali beta menyuruh pergi pada sahabat beta pinta ketentuannya, tiada juga beta boleh dengar. 

Maka inilah beta hendak bertanya pada sahabat beta, seperti surat beta pinta pada Jenderal itu, disukakankah pada kompeni atau tiada, boleh beta ketahui kerana sudah beta nyatakan pada surat beta beri akan Jenderal yang sahabat beta bawa dahulu itu. Jika tiada boleh seperti kehendak beta, tiadalah beta sukakan, serta beta pinta tabik pada Jenderal. 

Maka sekarang, jika jadi kesusahan sahabat beta bicarakan seperti kehendak beta ini, maka sahabat beta siapkan perahu serta teman, boleh beta buat surat serta teman beta beri pergi pada Jenderal bersama-sama, boleh tentu pada segala kira-kira itu kerana tersebut dalam surat Jenderal, itu pun maka ada maksus barang suatu disuruh nyatakan pada sahabat beta, boleh sahabat beta beri pergi pada Jenderal. Inilah beta nyatakan. Pinta sahabat beta balas mari segera, boleh hendak disiapkan surat dan teman yang hendak disuruh pergi itu. 

Buat surat pada dulapan likur haribulan Rejab, hari Jumaat. Tamat.

No comments:

Post a Comment