Tuesday, May 19, 2015

Surat Sultan Abdullah Mukarram Shah Kedah kepada Francis Light (MS40320/10 folio 52) tentang penerimaan kaki dian, cermin, kain baldu, ubat bedil kecuali senapang yang belum sampai

Al-Mustahaqqah

Surat kasih sayang serta tulus ikhlas yang tiada berkesudahan daripada beta sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang.

Bahawa akan surat sahabat beta beri mari dibawa Komodor serta kaki dian besar kecik tiga puluh enam itu sudahlah sampai pada beta. Maka dahulu sahabat beta beri mari cermin besar sepasang dan cermin kecik tiga pasang. Itu pun sampai pada beta. 

Demikian lagi akan kain baldu merah suatu gulung dan baldu ijau suatu gulung hadiah sahabat beta akan beta dibawa Saudagar Sulaiman serta ubat bedil macam suatu tong dan senapang macam suatu. 

Maka senapang itu tiada sampai pada beta. Maka beta periksa Saudagar Sulaiman, katanya senapang itu tiada sahabat beta serahkan pada dirinya. Sahabat beta hendak suruh hantar kemudian. Maka jadilah tiada beta balas lagi surat sahabat beta itu dengan sebab beta hendak nanti lihat senapang itu. Maka itulah jadi lambat beta balas surat itu. 

Maka ini lagi akan beta suruh orang pergi pada sahabat beta bicara selesaikan ubat bedil yang beta hendak suruh ambil itu dan lagi barang yang beta hendak pinta tolong sahabat beta cahari. Maka itulah beta nyatakan sahabat beta.

Perbuat surat dua puluh haribulan Rabiul Akhir, hari Selasa. Tamat.

No comments:

Post a Comment