Tuesday, June 30, 2015

Surat Puan Lina kepada Marsden, 7 November 1784 (MS40320/2 folio 52, 53) bertanyakan keadaan 2 orang anaknya

1784 hijrah nabi pada 7 haribulan November, pada pukul 4 siang, hari minggu adanya. 

Bahawa ini alamat surat serta tabik banyak-banyak datang daripada Encik Lina yang duduk di dalam kebu[n] di tengah Padang dalam negeri Pulau Perca jua adanya. Syahidan barang disampaikan Allah kiranya datang pada tuan saya, Tuan Mister Marsden yang duduk di dalam negeri sama-sama anak saya Nona Ketek dengan Nona Gadang adanya. Itu pun saya sangat percaya pada Allah dan pada malam dan siang, Tuan Allah kasih umur tuan panjang sama-sama anak saya kedua beradiknya di dalam dunia ini jua adanya, wa ba'dahu.


Kemudian daripada itu, inilah kiriman saya sama tuan saya, payung sepasang dan bantal sepasang serta peti berisi ambu-ambu satu serta kitab Syair Selendang Delima satu. Kata orang Melayu, itulah syair yang terlebih baik perkhabarannya. Dan inilah tanaman bunga cempaka satu bungkus kerana belum saya dapat tanaman yang lainnya kerana belum musin?[m]nya. Melainkan di belakang surat ini boleh saya kirimkan sama tuan adanya.

Kemudian daripada itu, inilah kiriman saya pada Nona Ketek dengan Nona Gadang sarung tangan satu seorang dan kipas satu seorang, akan tanda-tanda ma' lagi hidup di dalam dunia ini, serta berkirim peluk cium, selamat umur panjang di dalam dunia ini adanya. 

Dan saya harap pada tuan Allah dan pada malam dan siang akan mendapat khabar tuan saya dengan anak saya kedua beradiknya, tuan Allah kasih selamat sampai di negeri kerana sekarang belum saya dapat khabar itu adanya. 

Kemudian daripada itu saya minta begitu banyak sama tuan saya, kalau tuan sampai sayang sama saya, kalau tuan ada pandang sama Nona Ketek dengan Gadang, minta tuan sebut-sebutkan jua saya pada tuan punya wakil, niscaya boleh dianya tolong-tolong saya sebab kerana tuan juga lagi menyebut-nyebut nama sayang pada saya, pasti orang malu juga saya kerana tuan lagi sayang sama saya. 

Itulah minta begitu banyak di bawah tuan, saya punya laki adanya. Sungguh pun tuan ada jauh, pada fikiran hati saya seperti tuan ada di Bangkahulu juga rasanya. Sebab itulah maka saya tiada mau layan hati dan layan kelakuan kerana harap jua pada tuan saya, pada malam dan siang selama-lamanya, meski boleh tuan tanyakan sama orang yang lain atau sama Tuan Mister Moore nama dan buni saya adanya. 

Dan lalunya selama meninggal tuan saya berlayar ini, Tuan Mister Crisp juga yang menolong-nolong saya, tempat saya mengadukan sukar miskin saya, tetapi sebab tolong tuan juga sama saya. Kalau seperti Tuan Mister Lewi[s?] kalau dianya ada di Bangkahulu juga siapa boleh juga saya minta tolong sama dianya sebab kerana dianya pandang pada tuan juga kerana tuan ada sampai baik dengan anaknya dan sekarang dianya jadi Komandur di Pulau Pisang adanya. 

Kemudian daripada itu, Nona Nen sudah dapat anak laki-laki satu. Dianya pergi mengikut laki ke Padang, sampai di Padang lakinya berlayar di Mandaras. Si Nen tinggal di Padang kerana dianya dapat parut gadang. Itu pun dianya kembali ke Bangkahulu, tinggal di rumah saya. Sampai enam belas hari di rumah saya, anaknya jadi, ini pun sekarang dianya menanti-nanti anak cerdik sedikit. Dianya pergi pu[lang] menurut lakinya di Mandaras kerana surat lakinya sudah dua kali datang menyuruh dianya datang adanya. 

Kemudian daripada itu Nona Nen kirim tabik banyak-banyak pada tuan dan pada adiknya Nona Kete dengan Nona Gadang minta selamat-selamat umur panjang di dalam dunia ini jua adanya. Tamat al-kalam.

Rujukan:
EU Kratz. 2006. Like a fish gasping for water: The letters of a temporary spouse from Bengkulu. Indonesia and the Malay World. Vol. 34, No. 100, Nov. 2006, pp. 264-266.

No comments:

Post a Comment