Saturday, July 25, 2015

Surat Saudagar Raja kepada Francis Light (MS40320/3 folio 12) 15 Zulhijjah 1203 Tahun2 Ba (5 September 1789) berkenaan jual beli kapas 25 bandela, lembu 14 ekor, opium 10 peti, beras, padi,

Ya ‘Aziz

Hamba Dato’ Saudagar Raja merafakkan sembah ke bawah kadam Dato’ Tuan Gurnador Pulau Pinang yang mulia, lagi arif bijaksana, telah masyhur ke mana2.


Kemudian daripada itu, hamba Dato’ maklumkan ahwal surat kadam Dato’ serta kapas dua puluh lima bandela dibawa Kapitan Jaga2 itu sudah hamba Dato’ terima ambil. Maka lembu yang ada hadir pada hamba Dato’ empat belas ekor, sudah hamba Dato’ serah beri kepada Kapitan Jaga2. 

Pinta kadam Dato’ suruh orang terima ambil lagi, tengah hamba Dato’ duduk cahari beli himpun. Apabila sudah terhimpun, boleh hamba Dato’ maklumkan pergi pada kadam Dato’. Maka, hamba Dato’ pinta kadam Dato’ suruh kerani2 salin daftar segala ambilan bayaran hamba Dato’ pada kadam Dato’ dan pada kapitan Scott. Tentukan baki atas hamba Dato’ ini, beri mari pada Jaga2 serta dengan opiun sepuluh peti yang hamba Dato’ pinta itu. 

Maka harganya itu boleh hamba Dato’ himpun riyal dan timah hantar pergi kepada kadam Dato’. Maka, akan beras padi yang sudah ada ini pun pinta kadam Dato’ suruh Jaga2 mari terima ambil. Jika kadam Dato’ berguna lagi beras padi, pinta kadam Dato’ pesan mari dari awal sedikit, boleh hamba Dato’ beli himpun. 

Maka akan hal opiun itu, sudah hamba Dato’ keputusan benar. Tiada opiun sedikit pun pada hamba Dato’. Jadilah hamba Dato’ berulang2 pinta pada kadam Dato’.

Ahwal inilah hamba Dato’ maklumkan. Perbuat surat pada lima belas haribulan Zulhijjah, pada sanah 1203 tahun2 Ba. Tamat al-kalam.

No comments:

Post a Comment