Tuesday, December 1, 2015

Surat Encik Lu Ngak kepada Francis Light di Salang (MS40320/3 folio 54) berkenaan penghantaran dagangan ke Salang

Al-Mustahaqqah

Surat tulus ikhlas daripada saya, Encik Lu Ngak yang bermakam di bandar Perlis kota Indera Kayangan di negeri Kedah Darul Aman, datang kepada pihak sahabat saya Kapitan Light Dewa Raja yang istirehat di negeri Salang, yang amat mengasihi handai taulan selagi ada perkitaran cakerawala matahari dan bulan, nantiasa kasih tiada berputusan, yang pandai memerintahkan dengan segala sahabatnya bersetiawan, telah masyhurlah arif bijaksana dengan perangai yang sempurna, sampailah gahnya ke mana mana, dari atas angin dan ke bawah angin kedengaran bahana. 


Kemudian dari itu, barang tahu sahabat saya, adalah saya menyuruhkan sebuah perahu muatannya dagangan Cina serba sedikit, Nakhodanya Cina Jabang berlayar pergi dapatkan sahabat saya ke bandar Salang. Barang kiranya dengan tolong sahabat saya daripada jual belinya penyuruh saya itu, daripada sakit sukarnya, saya harapkan sahabat saya tolong akan dia daripada genap perkaranya. Apabila selesailah daripada jual belinya penyuruh saya Cina Jabang itu, pinta sahabat saya segerakan kembalinya ke bandar Perlis supaya diperoleh khabar yang kebajikan daripada sahabat saya. 

Di dalam itu, jika kiranya sesuatu kehendak sahabat saya kepada saya, pinta sahabat saya nyatakan mari pada saya, insya Allah Taala kadar tanggungan saya bicarakan beri pergi pada sahabat saya, boleh jadi berlanjutan kasih pergi mari tiada berputusan. 

Sahdan adalah hadiah saya akan sahabat saya dian sebungkus dan daun te suatu peti, tiada dengan sepertinya umpama setangkai bunga (ya-nga-ba-wau-ra mim-alif-lam) jua adanya, melainkan saya pun tabik juga banyak pada sahabat saya. 

Pergi surat ini pada lima likur bulan Jamadil Awal, hari Selasa, pada sanah 1199 tahun Ha. Tamat al-kalam.

No comments:

Post a Comment