[Surat 1: Daripada Francis Light kepada Laksamana]
Ya ‘Aziz al-Karim
Surat tulus ikhlas muafakat yang tiada berkesudahan daripada beta, Gurnador Pulau Pinang, sampai kepada sahabat beta Dato’ Laksamana yang amat mulia, wa ba’du.
Dari itu ahwal adalah teman beta orang Pulau Pinang, nama Cik Samah dan isterinya nama Cik Cak, berhutang kepada Bendahari Muhamad Lebai tiga puluh rial. Maka Bendahari pergi ke Kedah, oleh Raja Pahlawan kerasi kehendaki rial itu, sudah dibayar Cik Samah, sudah selesai berhadapan hakim Hasan.
Maka kemudian pergi Samah dan isterinya ke Kuala Muda hendak mengambil surat tapak tangannya. Maka oleh Bendahari Muhamad Lebai dikehendakinya tiga puluh rial lagi laba emas itu, serta ditahannya teman beta itu tiga empat bulan lamanya, serta hamba Cik Jak itu empat beranak itu pun diambil oleh Bendahari Muhamad Lebai kehendaki empat puluh rial mengatakan hamba Cik Jak itu berhutang. Maka sudah beta beri pergi tujuh puluh rial kepada Cik Samah, bayar seperti kehendak Bendahari itu. Maka sampai ke Kuala Muda, oleh Bendahari dibawanya lari hamba Cik Jak itu ke ulu, dua orang perempuan, tiada mau beri.
Maka inilah minta sahabat beta berdatang sembah, maklumkan ke bawah tapak cerap Duli Yang Dipertuan Yang Maha Mulia, dipohonkan titah barang sebaris, beri akan Bendahari Muhamad Lebai itu, boleh ia hantar mari budak perempuan dua orang itu dengan segeranya. Jangan jadi susah karena sangatlah ia buat aniaya. Ahwal inilah beta maklumkan, izzah bertambah2.
Perbuat surat pada selikur haribulan Zulkaedah, hari arba’. Tamat.
Francis Light 12 Aug(?) 1789
[Surat 2: Surat jawapan daripada Sultan Abdullah]
Mafhum saudara hamba Laksamana, bahawa akan surat Gurnador beri mari fasal budak itu sudah Bendahari Muhamad Lebai mari mengadu pada hamba, serta disembahkan budak itu pada hamba.
Maka adalah budak itu hamba suruh taruh. Maka kata Muhamad Lebai, piutang dirinya pada budak itu belum lagi diterimanya. Maka hendaklah saudara hamba beri pergi surat pada Gurnador, minta emas atau orang membayar emas pada Raja Pahlawan itu, boleh kita periksa diperhadapkan dengan Muhamad Lebai itu, boleh diketahui benar salah Muhamad Lebai itu. Kemudian boleh dihantar pergi budak itu pada Gurnador.
Inilah dinyatakan. Tamat.
No comments:
Post a Comment