Tuesday, January 7, 2020

Surat Sultan Mansur Shah Terengganu kepada Francis Light (MS40320/11, folio 69) berkaitan ancaman Siam dan keturunan kesultanan Terengganu (15 Shaaban 1201/ 2 Jun 1787)

Al-Shams wa al-qamar

Bahawa surat tulus dan ikhlas serta suci hati yang hening jernih iaitu daripada Paduka Seri Sultan Mansur ibn Sultan Zainal Abidin Raja Terengganu barang disampaikan Tuhan sarwa alam sekalian apalah kiranya kepada anak kita Senyur Gurnador yang mempunyai kebesaran di dalam Pulau Pinang yang amat baik budi pekerti lagi setiawan atas melakukan berkasih kasihan dengan segala handai taulannya lagi teguh setianya mufakat yang tiada berubah2 selagi ada peredaran cakerawala matahari dan bulan perkisaran malam dan siang maka kita pohonkan kepada Tuhan segala alam bertambah2 lanjut usia umur zamannya di dalam sihat dan afiat wa ba’dah 


daripada itu Paduka Seri Sultan memberi istifham kepada anak kita ada pun akan warkah al-ikhlas tulisan daripada anak kita yang dibawa Kapitan Glas itu telah sampailah kepada kita dengan sejahteranya pada ketika yang sempurna pada saat yang sentosa maka kita sambut dengan beberapa kesukaan tatkala terbukalah warkah itu daripada meterinya serta ditatap pada janub  syatarnya maka istifhamlah kita akan maksud dan murat  dalamnya itu maka kita pun sangatlah kesukaannya mendengarkan perkataan di dalam tulisan anak kita itu maka kita pun telah harablah  akan anak kita maka inilah jadi kita menyuruhkan Nakhoda Naina  dan Hang Jalal  itu mengadab  kepada anak kita akan menentukan permintaan kita kepada anak kita syahadan sebagai pula kita nyatakan kepada anak kita tatkala Raja Siam duduk di Singgora maka ia menyuruh memanggil Raja Kedah dan Raja Patani dan Raja Terengganu maka adalah Raja Patani itu keras sedikit jawabnya akan Raja Siam itu maka lalu dilanggarnya maka negeri Patani pun alah habis binasa oleh Raja Siam adapun akan hal surat Raja Siam kepada kita maka kita memberi jawab balas surat Raja Siam itu maka kata kita tiada istiadat daripada beberapa zaman mengadab  Raja Siam itu melainkan sekadar mengantarkan  bunga emas dan perak sahaja maka kemudian pula datang pula penyuruh Raja Siam serta menghendaki meriam seratus dan segala orang Siam yang di dalam negeri Terengganu dan lagi dia kehendaki daripada segala jenis perkakas yang baik2 maka sangatlah beratnya kehendak Raja Siam itu kepada kita maka kita pun sangatlah ketakutan akan Raja Siam itu maka kita pun berkukuh negeri hendak melawan Raja Siam itu maka dengan tolong Allah dan rasulNya maka Siam itupun pulang ia ke negerinya maka banyaklah dibawanya orang Patani yang dapat akan dia itu ke negerinya syahadan sebagai pula kita memberi istifham kepada anak kita daripada keturunan Raja Johor lalu sampai kepada kita boleh anak kita fikirkan adalah asal Raja Johor itu banyak adik beradiknya dan yang jadi raja dua beradik dan yang jadi Raja Johor itu Sultan Abdul Jalil namanya ia beranakkan Sultan Sulaiman dan Sultan Sulaiman itu beranakkan Raja Muda dan Raja Muda itu beranakkan Sultan Mahmud yang jadi Raja Riau sekarang ini dan adiknya Sultan Abdul Jalil itu Sultan Zainal Abidin namanya maka ia beranakkan Sultan Mansur yang jadi Raja Terengganu sekarang ini kerana Sultan Zainal Abidin itu pergi beristeri ke Patani akan anak Dato’ Muda saudara kepada Raja Patani iaitu Long Bahar  maka lalu beranakkan Sultan Mansur yang jadi Raja Terengganu maka Sultan Mansur pun beristerikan anak Sultan Sulaiman adapun akan hal Sultan Abdul Jalil itu memberikan negeri Terengganu itu kepada saudaranya Sultan Zainal Abidin dan kemudian pula pada masa Sultan Sulaiman jadi raja di negeri Riau maka negeri Terengganu itupun diberikan Sultan Sulaiman pula akan Sultan Mansur mengesahkan pemberian Sultan Abdul Jalil akan Sultan Zainal Abidin maka kepada ikhtiar kita kita akan hal negeri Johor itu patut juga kita yang mempunyai kerana kita lebih dan lagi pangkat tua daripada segala Raja2 yang di dalam Riau itu maka sekarang ini akan hal kita tiada berhajat akan kebesaran negeri Johor itu kerana kita pun sangatlah da’if bertambah pula diri kita pun sudah tua dan sebagai pula adalah fasal bonda  kita yang di sebelah barat itu ada adik Long Bahar jadi raja negeri Patani itu ganti Long Bahar dengan segala anak raja2 itu dia menyerahkan negeri Patani itu kepada kita serta ia memulangkan segala daerah negeri Patani kepada kita maka inilah kita memberi tahu kepada anak kita dan jikalau sudah patut melainkan kita minta tolong kepada anak kita sampaikan kepada kompeni Benggala bicara kita kepada tahun ini jua kerana kita sangatlah ketakutan serta dengan kesusahan daripada kedua pihaknya daripada dahulunya pun sudah kita bicarakan kepada segala Kapitan Inggeris maka tiada juga bertemu dengan orang yang menjalani seperti maksud kita kerana dahulunya pun ada kita minta tolong kepada Kapitan Hab  akan menyampaikan permintaan kita kepada kompeni Benggala maka tiada juga sampai maka sekarang ini telah harablah  kita akan anak kita akan menghasilkan permintan kita dan perhubungan kita dengan kompeni dan sebagai lagi akan hal barang perkara segala Melayu dan orang Wilanda dan orang Siam itu melainkan anak kita lebih istifhamlah dan lagi seperti tanah Patani lalu sampai ke Terengganu itupun anak kita lebih tahu barang perkara halnya dan dagangan yang keluar dari negeri itu dan sebagai pula kita nyatakan kepada anak kita maka kepada ikhtiar kita jikalau mati bandar Patani itu melainkan negeri Terengganu pun sangatlah kesakitan kerana segala beras padi semuanya datang dari Patani dan segala dagangan Terengganu pun yang melakukan di negeri Patani dan akan hal negeri Terengganu pun jikalau tiada pertolong daripada anak kita melainkan sangatlah kesakitan kerana negeri Terengganu itu tempat segala Kapitan Inggeris singgah mencari bekal barang yang kurang dan jikalau sudah hasil pekerjaan ini bolehlah berhubung kompeni Inggeris pada jalan perniagaan barang yang jadi patut kepada anak kita yang jadi untung kepada kompeni dengan kita boleh kita kerjakan dan sebagai pula kita nyatakan kepada anak kita akan negeri Terengganu kepada zaman ini adalah seperti umpama perempuan yang baik rupa maka dengan sebab itulah kita minta segerakan barang suatu perkiraan dan bicara kepada anak kita dan sebagai pula kita minta tolong kepada anak kita kirimkan beras barang seratus koyan utang  dan barangsiapa yang disuruhkan ke Terengganu membawa beras itu di sanalah kita bayar harga beras anak kita itu anak kepada wakil anak kita itu dahulu Allah kemudian pesuruhNya telah harablah  kita akan anak kita menolongi permintaan kita itu kemudian pula kita memberi mafhum kepada anak kita maka ada kita minta beras pada Raja Kedah dan jikalau ada Raja Kedah itu memberikan kepada anak kita beras itu melainkan kita minta tolong kepada anak kita hantarkan beras itu ke Terengganu dan sebagai lagi kita menyatakan kepada anak kita ada Kapitan Benggala itu ia membawa harta kita maka tiada ia datang ke Terengganu lagi itupun kita minta tolong amalkan  kepada anak kita juga akan banyaknya ada di dalam surat kita itu Kapitan Glas  wa ba’dah daripada itu adalah hadiah kita akan anak kita kain gulung sepasang dan kain besar sepasang tiada dengan sepertinya tamat al-kalam pada lima belas hari bulan Syaaban sanah 1201

No comments:

Post a Comment