Wednesday, January 10, 2024

Surat Sultan Amiruddin Maluku Tidore kepada Gabenor Kompeni Inggeris di Bengkulu (MS 40320/11, f.151) berkaitan hubungan Maluku dengan Belanda dan bersahabat dengan Inggeris (Isnin, 14 Jamadil Awal 1199 / 25 Mac 1785)

Bismillahirrahmanirrahim

Qawluh al-Haqq wa kalamuh al-sidq

Bahawa Paduka Seri Maha Tuan Sultan al-Wathiq billah al-Malik al-Manan al-Sultan Sayid al-Jihad Muhammad al-Mab’uth Amiruddin Kecil Nuku ialah raja yang mempunyai tadbir pada memerintahkan di atas takhta kerajaan tanah gunung Maluku Istana Tidore sehingga alam daerahnya dan menteri2nya yang berkirim risalat al-mahabbat wa tuhfat al-zakiyya ini terbit di dalam sudur al-qulub tulus ikhlas dipesertakan dengan beberapa tabik dan hormat banyak2 kiranya disampaikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada ayahanda oleh Paduka Gubernur dan sekalian radnya yang adalah maujud dengan segala kesentosaan pada memerintahkan pekerjaan Kompeni Inggeris yang amat masyhur kayanya di dalam kota Bengkulu maka ta dapat tiada Tuan Sultan dan menteri2nya dipermohonkan atas barang dilanjutkan usia umur zamannya dengan beberapa jenis kebajikan dan kesentosaan teriringi dengan perintah yang khair wa solah serta untung yang baik atas bumi dunia ini selama lamanya amin thumma amin wa ba’dahu 


dan kemudian dari itu bahawa Paduka Seri Maha Tuan Sultan dan sekalian wazir2nya memberi maklum kiranya kepada Paduka Gubernur dari Bengkulu beserta sekalian radnya dari nama Kompeni Inggeris pada hal bertahukan tatkala pada hijrat al-nabi (sad) (mim) seribu seratus sembilan puluh enam tahun maka pada ketika itulah termasuk dua kapal Inggeris di dalam daerah kami iaitu tiada kami ketahui maka lalu sebuah kapalnya itu jatuh ke negeri Barakhu dan sebuahnya pun jatuh ke negeri Sigit namanya sungguhnya orang pada dua buah negeri tersebut itu terlalu keji lagi kejahatan mereka itulah yang memakan bangkai anak Adam maka lalu diharu biru akan mereka itu setengah dibunuh dan setengah ditawan jua di luar pengetahuan kami maka tiba2 kedengaran khabar oleh Paduka Seri Maha Tuan Sultan dan menteri2nya bagai demikian maka tuan sultan pun terkejut pada hal amat dukacita dan sangat masyghul hatinya dari sebab terlalu sayang akan mereka dan dari nama Kompeni Inggeris kerana bahawa tuan sultan dan menteri2nya telah keluar ia meninggalkan istananya di Maluku pada hal berangkat dan berpindah ke tanah Siran ini sebabnya dengan qasad yang mustahaq akan menjaga2kan dan mencahari2 kedatangan dari nama jenis orang yang dimaksudkan itu supaya dapat membicarakan dengan mereka itu walakin apatah daya dan upaya telah ditakdirkan Tuhan akan mereka itu bagai demikian dan belum dianugerahakan Allah akan Tuan Sultan dan menteri2nya empunya beruntung pada berdapatan dengan Kompeni Inggeris pada masa itu maka lalu tuan Sultan dan menteri2nya menyuruh utusannya pergi mencahari mereka itu pada kedua pihak negeri yang tersebut walakin tiada lagi mendapat kapalnya itu hanya jua ada lima orang Inggeris serta enam orang temannya ke dalam tangan teraniaya itu maka hendak menghukumkan orang pada negeri itu dengan suatu hukuman yang patut dengan kesalahannya pada hal merusuhkan negerinya atau membunuhkan kapal2 mereka itu walakin tiada boleh sebab orang Inggeris serta temannya itu adalah ke dalam tangan mereka itu maka hanya jua membujukkan dengan kebajikan akan mereka itu supaya dapat mengambil orang Inggeris serta temannya itu kembali jua sehingga bersama2 utusan kami dengan orang pada negeri itu merusuhkan suatu negeri yang berseteru dengan orang Barakhu yang tersebut hingga mendapat luka dan mati pun kemudian diambil dan dibawa lima orang Inggeris serta enam orang temannya itu kepada Tuan Sultan di Siran maka Tuan Sultan pun memiara mereka itu sebagaimana patut di dalam kebajikan walakin ta dapat tiada Tuan Sultan memohonkan maaf2 jua dengan segala kesucian hati kepada Gubernur dari Bengkulu dengan sekalian radnya dari nama Kompeni Inggeris pada hal Tuan Sultan tiada memberi pakaian yang baik dan tiada memberi makan minum yang lazat akan mereka itu di dalam beberapa bulan ini mudah mudahan jangan kiranya mengambil akan sesuatu maknanya yang kejahatan adanya kerana bahawa Tuan Sultan sekarang adalah duduk di dalam kesukaran pada hal berperang dengan Wolandah lagi pun tiada diam ia di istana Maluku maka ada pun lima orang Inggeri yang tersebut itu dua orang kedatangan ajalnya maka telah mati dan hanya tinggal tiga orang walakin seorang telah kami menyerahkan ia ke dalam tangan seorang kapitan Inggeris namanya Doglis dan kapalnya Sea Queen namanya maka telah berlayar ia akan hal membawa pula permintahan kami hendak bersahabat yang bersuka sukaan dengan nama yang termasyhur ketinggiannya lagi maha bangsawan Raja Inggeris dan adalah lagi tinggal dua orang serta enam orang temannya itu dengan qasad Tuan Sultan dan menteri2nya hendak jua mengantar sekali kepada Gubernur dari Bengkulu akan tetapi segerah orang Wolandah yang kejahatan itu memukulkan istana Maluku dan merusuhkan pesisir2nya iaitu sebabnya telah mendengaran khabar bahawa orang Inggeris dua tiga orang yang tersebut itu ke dalam tangan Tuan Sultan maka lalu menunjukkan beraninya bagai yang tersebut maka jadi terhamburanlah manusia di Maluku pada segala tempat sebab itulah ta dapat tiada Tuan Sultan dan menteri2nya berangkat keluar pada hal mencahari seorang mereka itu sehingga mendapat dan mengimpunkan mereka itu pada tempat yang istirahat maka baharulah Tuan Sultan dan menteri2nya bermusyawarah hendak mengantar mereka itu ke Bengkulu jua walakin tiada boleh berjalan dari sebab telah tertiup angin yang di muka maka itulah dengan fikiran Tuan Sultan dan menteri2nya harus jua mengantar mereka itu ke negeri Timur supaya dapat segerah mereka itu menolongi pada mengantarkan keduanya dengan temannya itu ke Bengkulu kerana bahawa katanya dua jenis Kompeni Inggeris dan Portugis itu berkasih kasihan adanya sebermula termazkur dari asal pohon perseteruan kami dengan Wolandah akan jadi permenimbulkan huru hara sehingga bercerailah antara Maluku dengan Wolandah ini sebab dari ilat penyakitnya itu seorang Kapitan pada Inggeris namanya Faris jua ialah yang telah membuangkan suatu surat di Maluku kepada ayahanda oleh Paduka Seri Maha Tuan Sultan pada tahun seribu seratus sembilan puluh satu maka tertulis dalamnya bahawa Kompeni Inggeris mau hendak masuk bersahabatkan dengan Tuan Sultan di Maluku istimewah pula menyebutkan di dalam warkahnya itu segala perkataan yang sangat indah2 dan kalam yang amat manis cita rasanya sebab itulah ayahandaku oleh Tuan Sultan pun terlalu enak dan amat berahilah ia akan bunyi qulnya yang tersebut bagai demikian itu jua maka jadilah ayahandaku oleh Tuan Sultan mendapat malu serta dengan anaknya oleh Maharaja Mudah dan beberapa orang anak raja2 sekalian istimewah takhta kerajaan Maluku pun mendapat kesakitan yang maha besyar beserta kerugiannya yang seberapa banyak adanya walakin di dalam tilik nazar oleh Paduka Seri Maha Tuan Sultan yang baharu menjabat pekerjaan ayahnya ini bahawa sesungguhnya malu dan kesakitan yang tersebut itu bukannya sendiri saja Tuan Sultan dan menteri2nya di Maluku jua empunya malu iaitu ta dapat tiada melainkan lagi terkena sama2 dengan nama kompeni siapa yang telah memasukkan penyakit kepada kami bagai yang tersebut sebab itulah maka Tuan Sultan dan menteri2nya sekarang berangkat ia ke tanah Siran antaranya sudah empat tahun lamanya ini sebabnya sangat beringan di dalam fuad al-qulub dan sentiasa bercitakan siang malam yang tiada berkesudahan pada hal mengingatkan pula perkataan kapitan Faris bagai yang tersebut mau hendak jua mencahari siapa tabib yang boleh dapat mengubati pada menghilangkan kesakitan kami di Maluku ini walakin di dalam pengharapan hati Tuan Sultan tiada lain orang yang dapat mengubati kesakitan yang tersebut melainkan Kompeni Inggeris jua hanya kerana bahawa Tuan Sultan dan menteri2nya telah mendengaran khabar yang sadik sesungguhnya tiada sekali2 dari nama jenis orang putih yang terlebih baik kebajikan wartanya dan terlebih keras perintahannya bagai kompeni Inggeris lagi sangat masyhur kepujian namanya yang adil pada sekalian orang hitam sebab itulah maka ta dapat tiada Tuan Sultan dan menteri2nya memohonkan dengan segala pengharapan hati kepada Paduka Gubernur dari Bengkulu serta sekalian radnya dari nama Kompeni Inggeris mudah mudahan menolongi suatu penawar akan Tuan Sultan dan menteri2nya supaya akan menyembuh kesakitan Maluku dan jangan kiranya menaruh syak dan waham atas barang sesuatu pula permintahan utusan kami kapitan Muhammad Saleh dan jurutulis Marjal serta teman2nya yang membawa surat itu sesungguhnya demikian dengan titah permintahan Tuan Sultan dan menteri2nya yang harap dikeredai kepada Paduka Gubernur dari Bengkulu dengan sekalian radnya dari nama Kompeni Inggeris minta jangan tiada segerah menolong kesusahan kami dengan seberapa boleh pertolongan jua kerana adalah Tuan Sultan dan menteri2nya sediakan pohon2 cengke dan pala pada sekalian tanah2 dari nama bahagian Maluku jika dengan kesukaan hati pada ketika apalah yang hendak masuk Kompeni Inggeris berjabat tangan dengan aku Sultan di Maluku nescaya adalah kami bernanti2 jua asal segerah berdapatan dan berkenal satu pada yang lain supaya berikat tali jabal al-wadad yang tiada terurai sehingga pengabisan dunia ini kerana bahawa sesungguhnya Tuan Sultan dan menteri2nya serta sekalian rakyatnya yang laki2 dan perempuan dari alam Maluku sehingga tenteraan daerahnya beserta sekalian kayu2an dan batu2an dengan sekalian binatangnya yang kecil dan besyar tiada sekali2 mau bersuka2an lagi dengan orang Wolandah yang kejahatan dan telah kami menyumpahi mereka itu dengan sumpah yang amat besyar pada hal menaruhkan tangan kami di atas al-Quran yang maha mulia ertinya telah kami bercerailah dengan tiada syak adanya kemudian dari itu maka tiada suatu akan menandakan ikhlas Tuan Sultan dan menteri2nya kepada Paduka Gobernor dengan sekalian radnya hanya dua budak Papuah dan dua ekor burung nuri serta tiga puluh ekor burung mati iaitu tiada layak sekali2 pada antara Tuan Sultan dan menteri2nya dengan Tuan Gobernor dan sekalian radnya walakin harus jua akan menjadi pertunjukan kesucian hati Tuan Sultan dan menteri2nya pada Kompeni Inggeris jua adanya dan termazkurkan pula di bawah syatar ini bahawa sekalian menteri2 dari alam Maluku serta sekalian raja2 dan sekalian kepala2 dari nama bahagian Maluku adalah bertanda tangan seorang mereka itu di bawah ini pada hal sekalian kami telah berbalik belakang kepada orang Wolanda yang kejahatan ertinya menghadapkan muka kami akan Kompeni Inggeris dengan sungguh2 hati kami sekalian jua adanya tamat al-kalam bi al-haq tersurat di atas kerajaan Maluku pada empat belas hari bulan Jumadil Ula hari Isnin pada hijrat al-Nabi Sallallah ‘alaihi wa sallam seribu seratus sembilan puluh sembilan tahun intaha al-kalam

(Tandatangan 121 pembesar)


No comments:

Post a Comment