Tuesday, November 3, 2015

Surat Sultan Abdullah kepada Francis Light (MS40320/3 folio 31) untuk memanggil Francis Light bertemu dengannya berkaitan persediaan angkatan perang Burma menyerang Phuket

Al-Mustahaqqah

Surat tulus ikhlas berkasih-kasihan muafakat yang tiada berkesudahan daripada beta Paduka Seri Sultan Abdullah mamlakat di negeri Kedah, sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang yang akil bijaksana telah masyhur sampai ke mana-mana.

Kemudian dari itu, barang tahu sahabat beta, maka adalah surat daripada orang awak (Burma) Raja Tawi dan Raja Marit, junjung titah Raja Maha Besar benua awak (Burma) beri mari kepada laksamana. Tersebut dalam surat itu sudah bersiap perahu kelengkapan angkatan hendak mari melanggar Siam Salang, disuruhnya Laksamana maklumkan pada beta surat itu, jadi beratlah kerja itu. 

Maka ada pula khabar di luar surat itu banyak perkataan yang berat2 bunyi khabarnya. Maka itulah beta beri Syahbandar Seri Lela Pahlawan, pergi sambut sahabat beta mari hendak muafakat bicarakan surat2 ini, balas suratnya, diberi Malim Jauzi itu berlayar segera, boleh beta berkata2 sendiri dengan sahabat beta. Jika sudah sahabat beta mari pada beta ini, maka jadi kesukaanlah pada hati beta ini. 

Maka dengan bersurat2 pergi mari itu tiadalah memadai hendak keluarkan kata2 yang baik itu, diketahui orang banyak, yang baik itu pun jadi kejahatan perintah kerja itu, tambahan beta pun menaruh rindu akan sahabat beta, lama sudah tiada sahabat beta mari kepada beta ini. 

Perbuat surat hari Sabtu, tiga belas haribulan Safar. Tamat al-kalam.

[MS40320/3 f.31v]
Dipertuan recd pass Shahbandar
25 March 87

No comments:

Post a Comment