Al-Mustahaqqah
Surat tulus ikhlas berkasih kasihan daripada beta sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang yang bijaksana lagi arif memerintahkan segala pekerjaan, telah masyhur pada segala negeri.
Ahwal adalah pada sembilan likur haribulan Syaaban ini sampai Cik Long Ismail, mari nyatakan pada beta kata sahabat beta boleh khabar beta, konon suruh Cik Long Ismail pergi ke Pulau Pinang itu buat keraja salah hendak tikam sahabat beta. Maka perintah itu tiada pernah datang ingatan pada hati beta sebab tiada apa jalannya, akan tempat Pulau Pinang itu pun sahabat beta pinta dengan suruh Jenderal Benggala sekadar tempat singgah baiki kapal perang dengan suka hati, maka beta pun berikan dengan putih hati, beta hendakkan kebajikan antara sahabat beta dan beta juga. Maka tiadalah tempat yang patut datang keraja yang demikian itu.
Maka itulah beta suruh anak beta itu Cik Awi pergi kepada sahabat beta2, pinta sahabat beta nyatakan orang yang membawa khabar itu pada sahabat beta, boleh nyata betul benar beta atas sahabat beta kerana keraja jahat itu tiada boleh beta dan sahabat beta diamkan orang jahat itu. Sesungguhnya khabar itu sahabat beta tiada pakai tetapi didengar oleh segala dagang, masyhurlah khabar itu pada segala negeri, jadi lata nama beta. Tambahan sampai khabar itu pada Jenderal Benggala, bertambah2 jahat dan malu beta.
Inilah sangat beta pinta sahabat beta halusi periksa timbalkan orang yang membuat tutur kata yang tiada sebenarnya, boleh dihukumkan menurut adat orang putih dan adat Melayu, jangan jadi biasa hari kehadapan orang pergi perbuat fitnah berbagai2 tutur kata. Itulah beta hendak berjumpa dengan sahabat beta barang seketika, hendak selesaikan segala tutur kata itu. Ahwal inilah beta nyatakan pada sahabat beta.
Perbuat surat sembilan likur haribulan Syaaban. Tamat al-kalam.
20 June
[MS40320/3 f.49v]
Surat Duli Yang Dipertuan
20 June
[MS40320/3 f.49v]
Surat Duli Yang Dipertuan
No comments:
Post a Comment