Wednesday, December 19, 2018

Surat Laksamana Kedah kepada Francis Light (MS 40320/6, f.63) berkaitan masalah dagangan beras (2 Safar, Selasa)

Qultu 

Surat kasih sayang daripada beta Laksamana sampai pada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang akan surat sahabat beta yang dibawa Kapitan Bilair  itu telah sampailah kepada beta tersebut di dalamnya lama sudah tiada lepas pergi beras ke Pulau Pinang 


maka adalah perintah beras dalam Kedah ini sudah mahal dan sebelah darat kelaparan berharga enam gantang serial dua tiga laksa orang membeli makan dan lagi musim segala rakyat duduk berbuat kerja bendang dengan sebab itulah tiada suka orang membeli beras dengan harga mahal bayar hasil bawa keluar itu maka hal beras ini sahabat beta pun sudah ketahui di dalam itu pun beta maklumkan pada ke bawah Duli Baginda Yang Maha Mulia pada fasal beras sahabat beta minta keluar titah suruh beta bicarakan juga beras yang dijanjikan barang yang boleh serahkan pada Kapitan Bilair maka hal beras ini bukannya ada terhimpun pada suatu tempat melainkan dikutip himpun juga maka boleh lalu beta minta nanti Kapitan Bilair hingga empat lima hari hendak diserahkan beras barang yang boleh maka Kapitan Bilair tiada suka mahu nanti jadilah tiada terserah beras kepada Kapitan Bilair itu maka itupun beras itu beta bicara siap perahu muat beras hantar pergi kepada sahabat beta dalam enam tujuh hari ini ahwal inilah beta nyatakan kepada sahabat beta maka beta pun jika tiada apa halnya hendak pergi juga bermain2 pada sahabat beta ahwal inilah beta nyatakan pergi surat pada dua haribulan Safar hari Selasa tamat

No comments:

Post a Comment