Al-Mustahaqqah
Surat tulus ikhlas berkasih kasihan muafakat yang tiada berputusan selagi ada perkitaran cakerawala matahari dan bulan daripada beta Raja Muda datang kepada sahabat beta Senyur Gurnador negeri kota Pulau Pinang yang amat akil bijaksana masyhur gagah perkasa memerintahkan keraja perang di laut dan darat dan berdirilah gah kepujian pada antara mashriq dan maghrib yang nantiasa berkasih kasihan pada pihak aqtar dan segala alam nantiasa terpelihara daripada segala ketika dan zaman dengan takdir Tuhan Malik al-Manan Zul Jud wal Ihsan amma ba’dah
dari itu maka adalah beta beroleh khabar orang dagang bawa tali keras yang baik jual di Pulau Pinang sudah sahabat beta beli konon maka inilah beta beri orang beta bernama Cik Ibrahim pergi dapat sahabat beta2 pinta tolong senapang yang baik barang dua kodi dan ubat bedil yang baik barang dua tong dan tali keras itupun beta pinta beli dengan harga pembelian sahabat beta dan lagi barang yang pelik2 berkenan pada penyuruh beta itu berkehendak sahabat beta serah beri mari serta tentukan berapa banyak harganya diperbuat dengan surat sahabat beta beri pada penyuruh beta ini harablah beta akan kasih sayang sahabat beta tolongi seperti kehendak beta ini demikian lagi segala hal ahwal penyuruh beta itu sekaliannya dengan penolong sahabat beta beri segera pulang mari membawa waryit yang baik daripada sahabat beta maka segala kehendak beta itu nyatalah pada penyuruh beta ini maka akan budak perempuan sahabat beta kehendaki itu belum lagi datang beta suruh orang cahari Insya Allah Ta’ala apakala datang penyu[ruh] beta itu jika sudah boleh budak itu beta suruh hantar pada sahabat beta maka tiada apa tanda kasih daripada beta hanyalah ayam sedikit dan beras lembut yang baik sedikit dan pisang dan lempeng dua cepu dan tebu dan buah limau nipis sedikit tiada dengan sepertinya pinta sahabat beta terima ambil maka janganlah berputusan jalan maka tabat dan mursalat su menyuruh pergi datang antara beta dan sahabat beta akan menambahi jalan berkasih kasihan dan kebajikan yang datang daripada sahabat beta maka itulah dinyatakan surat pergi pada dua belas hari timbul bulan Rabiul Akhir hari Isnin tamat 1202 tahun Dul Awal
No comments:
Post a Comment