Qawluhu al-Haqq
Surat ikhlas berkasih kasihan muafakat yang tiada berputusan selagi ada perkitaran cakerawala matahari dan bulan daripada beta Paduka Seri Perdana Menteri datang kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang yang termasyhur sebutan pada antara segala laut dan darat dan berdirilah gah kepujian pada anta[ra] masyriq dan maghrib yang nantiasa berkasih kasihan dan setiawan pada segala negeri atas angin dan baruh angin berlakulah perintah kebajikan pada pihak aqtar dan segala alam nantiasa terpelihara daripada segala ketika dan zaman dengan takdir Tuhan Malik al-Manan Zu al-Jud wa al-ihsan amma ba’dah
maka adalah orang sahabat beta nama Manuwil dan Frangsiku mari masuk ke bandar Perlis sebuah perahu serta anak perahunya tiga orang bawa rial cahari beli beras maka kehendaknya itu beta suruh tolongi pada Saudagar Pekan beri beras seperti kehendaknya serta beta pohonkan pada ke bawah Duli Raja benar beri bawa beras itu ke bandar sahabat beta maka antara berapa hari sudah siab Manuwil kedua muat hendak keluar berlayar pulang pada sahabat beta maka dengan kehendak Tuhan langit bumi pada suatu hari anak perahunya yang bernama Wintu bangsa Habsyi minum arak pada ketika Manuwil dan Perangsiku naik ke darat Wintu duduk di dalam perahu berjalan pergi datang pada ketika mabuk itu lalu jatuh ke air lalu tenggelam tiada timbul maka Perangsiku terjun dari darat hendak pergi ambil sudah tiada dan maka lepas sehari baharu timbul Wintu ia sudah mati maka Manuwil dan Perangsiku takut jadi salah pada sahabat beta mereka itu mari nyatakan pada anak beta Raja Lela kepercayaan raja pinta pergi lihat tubuh Wintu kalau ada luka telus sudahlah ditatab segala kepercayaan tiada luka telus tubuh badan Wintu itu nyatalah mati Wintu itu dengan sebab dirinya mabuk jatuh ke air bukan dengan perbuatan siapa2 maka inilah Manuwil dan Perangsiku pinta surat tanda daripada beta dalam negeri Perlis ini hendak bawa nyatakan pada sahabat beta kebenaran dirinya kalau2 orang pergi berkhabar yang tiada berketahuan pada sahabat beta kalau sahabat beta ambil jadi salah atasnya maka janganlah sahabat beta dengar khabar seperti katar itu marahkan Manuwil dan Perangsiku kalau ia pergi khabar yang tiada sebenarnya jika sahabat beta turut jadi teraniayalah orang dua ini nyata benarnya diketahui orang banyak dalam negeri Perlis ini maka akan Manuwil dan Perangsiku beta suruh kembali dengan segeranya maka muatan perahu itu dengan tolong Allah Ta’ala yansuru man ya’sha` beras dan ayam mana kadarnya maka jangan berputusan jalan maka tebat dan mursalat sahabat beta menyuruhkan perahu mari ke bandar Perlis serta membawa dagangan yang patutnya akan menambah berkasih kasihan maka itulah beta nyatakan surat ini pada sembilan likur Safar hari Jumaat 123 tahun2 ba tamat
No comments:
Post a Comment