Friday, November 29, 2019

Surat Tengku Kelana Jaya Putera Langat kepada Francis Light (MS 40320/5, folio 16) berkaitan perdagangan (24 Disember 1792)

Qultu al-Asah

Waraqat al-mawjud dan hadiyat al-mamdud maka dipesertakan dalamnya tulus dan ikhlas serta suci dan dan putihati iaitu Tengku Kelana Jaya Putera yang ada semayam di Langat barang disampaikan Tuhan seru alam sekalian ke darat kepada Gurnador yang di atas tahta kerajaa[n] dan kebesarang di dalam negeri Puluh Pinang dan yang mempunyai perangai kamal al-ihsan daripada handai taulannya bayna al-qarib wa al-ba’id daripada kasih berkasihan serta menyampaikan hajat dan maksud orang yang bermaksud dan lagi menolong segala orang yang kekurangan dan kesakitan daripada sekalian handai taulannya maka masyhurlah daripada sekalian negeri dan desa besar dan kecil daripada menengar budi pekerti yang amat masyhur daripada ihsannya maka hendaklah kita bersahabat Gurnador selagi ada peredarnya nur al-shams wa al-qamar dan kasih berkasihan demikianlah adanya wa ba’dah 

kemudian daripada itu barang mafhum kiranya Gurnador maka adalah kita melayangkan sahifat al-ikhlas yang secara kertas yang tiada dengan sepertinya daripada tanda tulus dan ikhlas serta suci dan puti[h] hati kita kepada Gurnador jua adanya yakni kita menyuruhkan tiga buah perahu akan mendapatkan Gurnador serta membawa tanda daripada cap kita karena itulah kepercayaan kepada kita barang apa bicaranya kepada Gurnador bicara kitalah karena itulah ganti kita dan lagi sudah kita serahkan kepada dianya syahadan daripada itu suatu pun tiada burhan al-ikhlas hanya ada kain sehelai tanda suci hati puti[h] kepada Gurnador jua adanya maka tertulis di dalam negeri Langat daripada bulan Disember dua puluh empat hari pukul jam tiga

No comments:

Post a Comment