Al-Shams wa al-qamar
Bahawa inilah surat tulus serta ikhlas suci putih hati iaitu daripada hadrat Maulana Paduka Seri Sultan yang semayam di atas bukit takhta kerajaan di dalam daerah bandar negeri Selangor Darul Khusus, barang disampaikan Tuhan semesta segala alam apalah kiranya datang kepada sahabat kita Senyur Gabenor yang memerintahkan di dalam kota Pulau Pinang, ialah yang amat setiawan dan dermawan, arif bijaksana daripada melakukan antara sahabat bersahabat, kasih berkasihan, setia pakat muafakat serta dengan mengasihi segala fakir miskin dan memeliharakan segala dagang yang pergi datang, qarib wa al-ba’id. Maka adalah seumpama syams dan qamar yang menerangkan alam dunia ini, adalah seumpama sepohon kayu yang besar di tengah padang yang amat rendang dahannya, serta dengan amat lazat buahnya, serta dengan harum bau bunganya. Itulah tempat pernaungan segala hamba Allah serta dengan menghilangkan lapar dahaganya. Maka masyhurlah warta ihsannya kepada tiap-tiap negeri yang lain, wa ba’dah.
Kemudian daripada itu, maka adalah kita melayangkan sekeping kertas dibawa oleh Nakhoda Sembawa kepada sahabat kita, menyatakan hal seperti Nakhoda Sembawa itu kita suruh dianya pergi ke Kedah mendapatkan Orang Kaya Seri Maharaja Dewa, menyatakan seperti kapal Keling di dalam negeri Selangor, serta kita suruh ambil kepada Orang Kaya Seri Maharaja Dewa kapal itu. Ada pun kapal itu tatkala ia masuk ke dalam negeri Selangor, suatu pun tiada hartanya yang cacat binasa, jarum patahnya pun tiada yang hilang. Sekarang ini hendak pun kita lepaskan dianya berlayar kapal itu, siapa tahu entah rosak di laut, entah dirompak orang, menjadi nama kita juga yang buruknya kepada tiap-tiap negeri yang lain. Sebab itulah maka kita, sebab itulah maka kita suruh ambil kapal itu kepada Orang Kaya Seri Maharaja Dewa di Kedah. Lagi pun anak buah kepada dianya supaya jangan tinggal setia kepada kita.
Sebagai lagi, seperti bendera dengan pas kompeni yang kita pinta kepada sahabat kita dahulu, jangan tiada sahabat kita tolong bicarakan. Dan lagi, seperti meriam dan batu senapang dan kerpai dan senapang yang kita pinta dahulu, seboleh-bolehnya sahabat kita tolong bicara dengan segeranya. Sebagai lagi, kita janganlah sahabat kita lupakan dari hati sahabat kita. Apabila sahabat kita lupakan kita, menjadi orang jahatlah kita kerana tiadalah lagi tempat kita bergantung, hanya sahabat kita sahaja. Kemudian lagi, ada timah kita sedikit-sedikit dibawanya, kita minta tolong jualkan kepada sahabat kita.
Pergi surat kepada sehari bulan Safar. Intaha al-kalam, bi al-khair, wa salam. Sanah 1201.
[Bahagian tepi]
Kemudian lagi kita minta carikan kertas tebal buatan pundi-pundi meriam barang-barang seribu helai. Dan lagi, besi lantai barang sepuluh pikul. Dan lagi, besi baja barang tiga pikul. Sebagai lagi kita pinta tolong bicarakan ringgit barang lima ribu. Kemudian kita bayar kepada sahabat kita dengan timah. Jikalau sudah dapat riyal itu, hendaklah sahabat kita serahkan kepada tangan Nakhoda Sembawa itu.
No comments:
Post a Comment