Al-Shams wa al-qamar
Bahawa ini surat tulus serta
ikhlas suci hati yang putih iaitu daripada hadrat Maulana Paduka Seri Sultan
Ibrahim Khalifah al-Mukminin yang semayam di atas takhta singgahsana kerajaan
di dalam daerah bandar negeri Selangor Darul Khusus, barang disampaikan Tuhan
seru sekelian alam, apalah kiranya datang kepada sahabat kita Jenderal yang
memerintahkan di dalam bandar negeri Benggala serta dengan teluk rantaunya, ialah yang setiawan,
bijaksana daripada melakukan sahabat bersahabat dengan handai taulannya, qarib
wa al-ba’id, lagi murah kepada segala fakir miskin adalah seumpama sepohon
kayu yang besar di tengah padang, lagi rendang dahannya, lagi harum bau
bunganya, dengan lazat rasa buahnya. Itulah tempat pernaungan segala hamba
Allah, menghilangkan lapar dahaganya, wa ba’dah.
Daripada itu maka adalah kita
melayangkan sekeping kertas kepada sahabat kita menyatakan hal seperti surat
kita dahulu yang dibawa oleh Kapitan Light kepada sahabat kita, perjanjian
Kapitan Light dengan kita umur tiga bulan. Ia datang ke Selangor sekarang ini,
suatu khabar pun tiadalah kita dapat. Di
dalam pada itu, maka berjumpalah kita dengan satu Kapitan Banggul namanya. Maka
kita kasi pula satu surat ini. Syahdan barang tahu kiranya sahabat kita jikalau
ada belas kesian serta kasih sayang lagi kepada negeri Selangor serta dengan
kita, melainkan kita pintalah seboleh-bolehnya kepada sahabat kita bendera
Kompeni Inggeris serta dengan pesan itulah akan tanda kita bersahabat. Dan
lagi, seperti mana yang keluar dari dalam negeri Selangor itu seperti timah dan
lada dan lilin dan rotan, sekeliannya itu kita berikan kepada sahabat kita
dengan sesuci-suci hati kita memulangkan sekaliannya itu serta hendak
bersahabat. Sebab itulah maka kita perbuatkan surat perjanjian ini, kita
kasikan kepada sahabat kita bahawa sungguh dengan nyatanya. Maka adalah cap
kita di atas kertas ini.
Tersurat di atas Bukit Selangor
kepada empat hari bulan Safar kepada hari arba’ waktu jam pukul tiga. Tarikh
sanah 1200. Tamat al-kalam, bi al-khair
wa al-salam.
No comments:
Post a Comment