Monday, March 9, 2015

Surat Sultan Selangor kepada Francis Light (MS40320/11 folio 43) 25 Ogos 1786 tentang hubungan Selangor dan Belanda dan meminta untuk membeli senapang, batu senapang dan besi

Al-Shams wa al-qamar


Bahawa inilah surat tulus serta ikhlas suci putih hati iaitu daripada hadrat Duli Yang Dipertuan Yang Maha Mulia yang semayam di atas takhta singgahsana kerajaan di dalam bandar negeri Selangor Darul Khusus, barang disampaikan Tuhan semesta sekalian alam apalah kiranya datang kepada sahabat kita Kapitan Light yang ada duduk di dalam bandar negeri Kedah Darul Aman, ialah yang amat setiawan dan dermawan antara sahabat bersahabat serta dengan murahnya kepada fakir miskin, wa ba’dah.

Kemudian daripada itu, maka adalah kita melayangkan kertas sekeping kepada sahabat kita, akan hal seperti kita dengan Kompeni Wilanda sudahlah berdamai. Ada pun dahulu perjanjian sahabat kita di dalam surat yang dibawa tandil mengatakan dua bulan akan ketikanya melainkan adalah sahabat kita datang mendapatkan kita ke Selangor. Sekarang ini sampai dua belas bulan sudah lamanya kita nanti sahabat kita, tiada juga datang sekarang ini. 

Adalah lagi terpegang seperti perjanjian dahulu atau tiada. Jikalau ada pun hendaklah sahabat kita memberi khabar, jikalau tiada sekalipun, melainkan hendaklah sahabat kita memberi khabar kepada kita supaya boleh kita ketahui. 

Sebagai lagi, seperti Nakhoda Sembawa itu, hendaklah sahabat kita suruhkan ia kembali ke Selangor dengan segeranya. Dan lagi, kita minta bicarakan senapang yang baik-baik kompeni barang enam puluh dan batu senapang barang dua ribu atau tiga ribu. Dan lagi perkakas besi barang satu peti. 

Tersurat kepada tiga puluh haribulan Syawal kepada malam Jumaat, waktu jam pukul tujuh. Tamat al-kalam. Tarikh sanah 1200.

No comments:

Post a Comment