Qawluhu al-Haq
Salamuh Allah ala al-dawam ma damat al-lail wa al-ayyam. Dari bawah hadrat Paduka Seri Sultan Aliyuddin Mansur Shah Iskandar Muda Khalifah al-Rahim yang mempunyai takhta kerajaan negeri Perak Darul Ridhwan, sampaikanlah kepada sahabat kita Gurnador yang duduk memerintah di Pulau Pinang.
Maka adalah surat sahabat kita datang, dibawa Nakhoda Bayan, telah sampailah kepada kita dengan selamatnya. Maka kita sambutilah dengan sejahteranya. Maka kita buka daripada lipat meterinya. Maka kita tatapilah daripada janib syatirnya. Maka fahamlah kita akan segala bagainya.
Bermula sahabat kita menghendaki timah hutang kita. Maka timah itu lamalah sudah terhimpun di Kuala Kangsar. Maka kita pun hendak suruh hantarkan kepada Makota Indera dan Megat Indera Bongsu dan Kapitan Cina. Antara itu, maka sakitlah orang yang dua itu. Maka terhentilah antara dua bulan lamanya. Kemudian, maka adalah baik sedikit. Maka kita hendak suruh hantarkan timah itu. Maka dalam antara itu, maka Nakhoda Bayan pun datanglah membawa surat daripada sahabat kita. Maka inilah kita suruhkan orang yang tiga ini mengantar timah sahabat kita berikut dengan Nakhoda Bayan.
Bermula adapun fasal Raja Melayu itu, jangan sahabat kita tiada tahu benar cucu kepada kita tetapi tiada dengan setahu kita dia pergi bersama Sayyid Ahmad adik Sayyid Muhammad. Maka dibawanya ke Larut. Maka Sayyid Muhammadlah yang memberi perahu dengan senjata. Khabarnya di dalam itu apa yang baik kepada sahabat kita kerana dia itu Raja Melayu, budak tiada berakal.
Bermula adapun fasal piutang Nakhoda Bayan kepada Raja Kecil Muda itu sudahlah kita terimakan, kita bayar kepada Nakhoda Bayan, telah selesailah sudah yang kepada Raja Kecil Muda. Dan yang kepada Tun Lela Putra dan Cik Nulab itu tengah kita bicarakanlah.
Sebagai lagi barang tahu sahabat kita jikalau orang membawa timah dari Perak atau dari Kuala Larut, jikalau tiada membawa surat cap Sultan Muda, ambil oleh sahabat kita akan hutang Yang Dipertuan, tentukan banyaknya harta orang itu perseorang-seorang, tentukan dengan nama orangnya sekali suratkan.
Suatu pun tiada burhan al-ajwad, hanyalah doa fi al-lail wa al-ayyam sihat istirehat bertambah-tambah ala al-dawam.
Perbuat surat kepada sanah seribu dua ratus dua tahun kepada tahun alif kepada bulan Zulhij kepada sembilan belas kepada hari Sabtu. Tamat.
No comments:
Post a Comment