Monday, March 9, 2015

Surat Sultan Selangor kepada Francis Light (MS40320/11 folio 45) 1 Oktober 1786 meminta bendera kompenin Inggeris dan masalah 615 orang Selangor lari ke Kedah serta pembelian peluru meriam, meriam dan senapang

Al-Shams wa al-qamar


Bahawa inilah surat tulus dan ikhlas serta suci putih hati iaitu daripada hadrat Maulana Paduka Seri Sultan yang semayam di atas takhta singgahsana kerajaan di dalam bandar negeri Selangor Darul Khusus. Barang disampaikan Tuhan semesta sekalian alam apalah kiranya datang kepada sahabat kita Gabenor yang memerintah di dalam kota Pulau Pinang, ialah yang amat setiawan daripada antara kasih berkasihan, sahabat bersahabat serta dengan memeliharakan kepada segala dagang yang pergi datang serta dengan murahnya kepada fakir miskin. Maka masyhurlah warta ihsannya pada sekalian negeri-negeri yang lain, wa ba’dah.

Kemudian daripada itu, maka adalah kita melayangkan kertas sekeping kepada sahabat kita dibawa oleh mata-mata dengan Si Amat, menyatakan hal seperti perjanjian sahabat kita dahulu. Ada pun perjanjian sahabat kita umur tiga bulan, sekarang ini sampailah setahun kita nanti juga melainkan sekarang ini jikalau ada kasih sayang lagi sahabat kita kepada kita, melainkan kita pintalah kepada sahabat kita bendera kompeni Inggeris serta dengan pasnya. 

Ada pun sekarang ini sangatlah kita hendak bergantung kepada sahabat kita akan seperti timah yang di dalam Selangor sekaliannya kita pulangkan kepada tangan sahabat kita, baik lada hitam dan rotan sekaliannya, mana yang ada dagangan di dalam Selangor, mana yang sahabat kita suka semuanya kita pulangkan kepada sahabat kita. Dan jikalau sahabat kita mahu duduk bersama-sama dengan kita di dalam negeri Selangor pun kita lebih lagi suka. Jikalau sahabat kita tolak sekali pun kita sekali ini, melainkan kita hendak bergantung juga kepada sahabat kita, melainkan Allah jua yang amat mengetahuinya akan hati kita kepada sahabat kita. 

Sebagai lagi, tatkala kita dapat negeri Selangor, maka adalah orang kita lari ke Kedah banyaknya kecil besar laki-laki perempuan sekaliannya enam ratus lima belas orang, melainkan kita minta tolong kepada sahabat kita bicarakan orang itu kerana ada sudah dahulu kita memberi surat ke Kedah katanya, sama Kedah sama Selangor. 

Sebagai lagi, seperti mata-mata dengan Si Amat itu, serta kita suruh ia pergi mencari Nakhoda Sembawa itu rosak khabarnya. Itulah kita suruh ia pergi mencari sampai ke Kedah. 

Sebagai lagi, kita minta kepada sahabat kita peluru meriam barang seratus atau lima puluh. Besarnya adalah ukurannya kepada mata-mata itu, jikalau tiada kepada sahabat kita melainkan kita minta carikan kepada sahabat kita. Sebagai lagi, kita minta carikan meriam besar barang dua pasang atau sepasang dengan pelurunya sekali. Itu pun ada juga ukurannya kepada mata-mata. Sebagai kita minta carikan senapang yang baik-baik buatan kompeni barang enam puluh dan batu senapang barang seribu. Kemudian suatu pun tiada alamat al-hayat, hanya timah ada setengah bahara. 

Tersurat di atas Bukit Selangor kepada delapan haribulan haji. Tamat al-kalam, bi al-khair wa al-salam. Tarikh sanah 1200.

No comments:

Post a Comment