Thursday, March 12, 2015

Rangka Surat daripada Francis Light kepada Sultan Kedah (MS40320/1 folio 10) tentang pemergian ke Benggala dan permintaan Sultan Kedah sebanyak 3000 rial

Ya Ghafur Rahim


Daulat Tuanku Shah Alam Zillullah Fi al-Alam. Ampun Tuanku patik Gurnador Pulau Pinang, hamba yang teramat hina daripada sekalian hina, merafakkan sembah ke bawah tapak cerap Duli Yang Dipertuan Yang Maha Mulia. Serta patik mohonkan ampun beribu-ribu ampun penuh limpah terjunjung ke atas jemala patik, ampun Tuanku.

Patik maklumkan ahwal surat titah Duli Yang Maha Mulia dibawa (sama sebut?) patik itu terjunjunglah di jemala patik, ampun Tuanku. Maka segala yang tersebut dalamnya fahamlah patik segenap perkaranya. Maka dahulu patik jadi saudagar sahaja, mana suka hendak pergi boleh pergi pandai sendiri. Maka sekarang sudah patik memegang perintah kerja kompeni tiadalah boleh meninggal pulau ini. Apabila datang hukum surat Gurnador Jenderal Benggala, masa itulah boleh patik pergi ke Benggala, boleh selesai sekali segala perintah kerja negeri dikhususkan apabila sampai ke Benggala, diperiksa Jenderal mengapa Raja Kedah kehendaki tiga laksa riyal, berapa ada perolehan dalam Kedah, apa jawab patik kerana tiada (nun-wau) jenis yang (dikalah?). Maka akan perintah hasil opium itu masuk dahulu pun tiada tersebut di dalam surat pada Jenderal itu. Lagipun tiada pernah orang Inggeris memberi hasil opium kerana tiada patik beri pergi opium ke Kedah jikalau orang mencuri bawa pergi sedikit banyak mana boleh patik ketahui melainkan Yang Maha Mulia suruh jaga (kaf-wau-ra) baik-baik.

[Di belakang surat]
Akan surat ikrar Tuanku beri mari itu, segala-gala tiada patik sebut Tuanku boleh jual hasil mana-mana ada tinggal Raja Inggeris tiada adat di bawah angin dan atas angin dalam dunia boleh kompeni bayar hasil opium kerana tiada adat pernah siapa-siapa boleh mengambil hasil di mana ada tinggal Raja Inggeris. 

Maka timah dengan rotan keluar di dalam jajahan Kedah sudah wakil Tuanku saudagar Tuanku beli jual, bukan patik beli. Maka fasal opium tiada patik berniaga dengan orang Kedah lain daripada wakil tuanku. Maka segala rakyat yang mencuri beli opium bawa pergi ke Kedah sudah mata-mata rampas, ambil belaka, tiada patik peduli kerja itu. Jikalau mau kata benar tiada kompeni ambil lain daripada Pulau Pinang tempat hutan negeri hutan tempat pencurian satu (kota/guna?) tiada di dalam dengan belanja besar. Ada kompeni duduk baiki satu bandar belum tentu kalau jadi. Segala orang dagang berlayar mari, tiada ia mengambil hasil. Dan segala kapal dan perahu hendak pergi ke Kedah atau mana-mana, tiada ia larang. Dan segala jenis makanan dari Kedah mana-mana baik sudah beli dengan harga mahal kerana Tuanku sudah bubuh hasil di atas segala makanan.

Akan surat ikrar Tuanku beri mari itu, segala-gala tiada patik sebutkan bubuh hasil opium dalam Pulau Pinang kerana tiada masuk di dalam surat Jenderal. Lagipun tiada adat kompeni di mana-mana raja yang ada tinggal Inggeris. Dan lagi tiada kompeni bertemannya bawa jual harta larangan di dalam negeri Kedah selama duduk dalam Pulau Pinang ini hingga beli jual dengan orang dagang sahaja, tiada suka kompeni bubuh hasil di atas orang dagang. Maka kompeni buat tempat ini sebab hendak memelihara segala dagang. Beberapa sudah belanja kompeni, maka tiada patik benarkan teman patik bawa harta larangan masuk dalam negeri Kedah jikalau tiada dengan suka Tuanku. 

Dan lagi tiada patik benarkan orang mencuri bawa timah rotan dari (Guar?) (Muda?) Perai, Kerian jajahan Tuanku jual di pulau. Dan lagi jikalau susah Tuanku seperti kata patik pada Saudagar Mirankandu, boleh patik bicara kerana segala kehendak Tuanku patik ketahui belaka, tetapi patik serba salah takut akan Jenderal dan Tuanku hingga patik pergi sendiri juga ke Benggala.

Maka selesai.

No comments:

Post a Comment