Ya Fattah al-Qulub
Salam lillah taala ala al-dawam ma damat al-lail wa al-ayyam. Dengan berkat Muhammad Sayyid al-anam serta diiringi dengan beberapa madah dan thana serta doa yang tiada terhingga dan berkeputusan kasih dan mesra tiada berkesudahan daripada kita Maulana Paduka Seri Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda Khalifah al-Rahim Johan Berdaulat Zillullah fi al-‘Alam yang di atas takhta singgahsana kerajaan dalam negeri Perak Darul Ridhwan. Barang disampaikan Tuhan Seru sekalian alam apalah kiranya pada Gurnador yang memerintahkan tadbir dalam negeri kota Pulau Pinang yang arif bijaksana pada jalan melakukan kesukaan dan muafakat serta berkasih-kasihan yang tiada berhingga dan berkeputusan antara kita kedua pihak ini akan menjadi kebajikan masyrik dan maghrib.
Syahadan ada pun akan hal Gurnador hendak biasa dengan kita itu terlalulah kesukaan kita serta dengan benarnya sangat pada hati kita. Ada pun akan negeri Perak ini adalah umpama perempuan yang elok. Tetapi sungguh pun elok, ada pula lakinya. Maka lakinya itu terlalu cemburunya. Dalam pada itu pun ada pula orang berkehendakkan perempuan itu, maka ia itu terlalu suka. Tetapi lakinya itu terlalu amat keras. Apalah dianya perempuan itu. Maka negeri Perak pun demikian itulah. Maka hendaklah Gurnador baik2 bicara. Ada pun yang keras itu (dal-qaf-nya) pun di atas keras juga, Gurnadorlah yang lebih tahu akan perintah itu.
Kemudian daripada itu, akan hal orang besar seorang baharu datang dari Benggala itu menghendaki benih sagu pohonnya yang kecil-kecil itu hendak bawa pergi tanam ke Benggala. Oleh kerana di Pulau Pinang tiada benih itu, maka kehendak itu lagi tengah kita bicarakan, di dalam negeri Perak pun mahal pula benih sagu itu dan tanah tempat benih anak sagu itu pun mahal juga sedikit.
Adapun makanya terlambat sedikit surat ini kita terbalas oleh kerana ada susah kita sedikit, Raja Selangor datang masuk negeri Perak. Sudah langsai pekerjaan Raja Selangor itu, baharulah kita terbalas surat Gurnador ini. Kita suruh bawa hantarkan segera ke negeri kota Pulau Pinang ini, membawa segala khabar yang ihsan daripada kita. Intaha al-kalam.
Tersurat pada tujuh hari bulan Syawal hari Isnin, waktu duha sanah 1201.
No comments:
Post a Comment