Monday, March 9, 2015

Surat Sultan Selangor kepada Francis Light (MS40320/11 folio 36) 5 Januari 1787 supaya Francis Light tidak memihak kepada sesiapa tentang 615 orang Selangor yang berada di Kedah serta pembelian beras, besi dan meriam.

Al-Shams wa al-qamar

Bahawa inilah surat tulus serta ikhlas, suci putih hati iaitu daripada hadrat Maulana Paduka Seri al-Sultan Ibrahim Khalifah al-Mukminin yang semayam di atas takhta singgahsana kerajaan di dalam bandar negeri Selangor Darul Khusus. Barang disampaikan Tuhan semesta sekalian alam, apalah kiranya kepada sahabat kita Gabenor yang memerintahkan di dalam kota Pulau Pinang, ialah yang amat setiawan dan dermawan serta dengan arif bijaksana daripada melakukan kasih berkasihan antara sahabat bersahabat serta dengan mengasihi segala fakir miskin, qarib wa al-ba’id. Maka masyhurlah warta ihsannya kepada tiap negeri yang lain, wa ba’dah.


Kemudian daripada itu, akan hal seperti warkah al-ikhlas daripada sahabat kita yang dibawa oleh Nakhoda Sumbawa serta dengan hadiah daripada sahabat kita telah sampailah kepada kita dengan sejahteranya. Maka kita sambutlah dengan beberapa kesukaan dan (kere?baan) kepada saad yang kebajikan. Maka adalah kita menyuruhkan Nakhoda Sumbawa itu berdua dengan Panglima dalam mendapatkan sahabat kita, menyatakan seperti orang-orang kita yang enam ratus lima belas orang yang di dalam Kedah itu. Apabila tiada ia mahu memulangkan kepada kita orang-orang itu melainkan diamlah sahabat kita, sama Kedah pun jangan sahabat kita masuki dan sama kita pun jangan sahabat kita masuki, melainkan sahabat kita lihatkan sahajalah antara kedua pihaknya supaya tentu salah benarnya. 

Sebagai lagi, kita pinta tolong seboleh-bolehnya kepada sahabat kita bicarakan beras barang berapa termuat perahu yang tiga buah itu. Dan lagi kita pinta bicarakan besi barang enam pikul dan lagi bom barang dua pasang atau sepasang dan lagi meriam penembak anggur barang dua pasang dan jikalau tiada sahabat kita jual sekalipun, melainkan kita pinjamlah kepada sahabat kita, sebab negeri banyak susah, melainkan Nakhoda Sumbawa itulah membawanya ke Selangor seperti perkakas yang tersebut di dalam surat ini. 

Sebagai lagi, jikalau sudah datang kapal perang dari Benggala, hendaklah sahabat kita berkirim surat kepada kita supaya boleh kita kumpulkan timah di dalam Selangor akan pembayar harga meriam dan senapang mana yang kita pinta dahulu sekaliannya itu. 

Tersurat di atas Bukit Selangor kepada lima belas hari Rabiul Awal, hari Jumaat, waktu jam pukul delapan, siang hari. Intaha al-kalam, bi al-khair, wa al-salam. Tarikh sanah 1201.

[Di bahagian tepi]

Sebagai lagi, akan hal seperti beras itu melainkan kita pintalah kepada sahabat kita bagaimana belian sahabat kita.

No comments:

Post a Comment