Al-Mustahaq
Surat kasih sayang serta tulus ikhlas yang sudi suci putih hati dan muafakat yang tiada berputusan selagi ada perkitaran cakerawala iaitu matahari dan bulan, daripada beta Raja Muda yang memerintah negeri Perlis Bandar Kota Indera Kayangan, mari sampai kepada pihak sahabat beta iaitu Gurnador yang memerintahkan bandar Pulau Pinang yang amat budiman pada jalan berkasih-kasihan dengan segala handai dan taulan, lagi setiawan dan dermawan pada segala fakir miskin, hina dina dan sangat bijaksana pada segala pekerjaan di laut dan darat dan tolong-menolong segala anak dagang senteri, tiada diberi kesakitan. Maka tergah masyhurlah nama kepujian pada segala negeri atas angin dan bawah angin. Maka perangai yang demikian itu barang ditetapkan Tuhan seru alam sekalian. Jangan berubah-ubah.
Kemudian dari itu, barang tahu sahabat beta, ahwal akan belerang sahabat beri mari sebahara itu telah sampailah. Sudahlah beta suruh terima ambil dengan kesukaan beta, terima kasih sahabat beta.
Bermula akan jam beta tiga buah. Satu itu hijau dan satu itu kuning dan satu itu suasa kecil sekali. Beta pinta baiki itu. Ini sahabat beta suruh hakim bandar serah beri mari pada orang beta Cik Ibrahim itu satu yang besar sedikit kuncinya sudah tiada, dua lagi itu tiada diberi mari, yang sampai itu pun tiada boleh dipakai, belum baik lagi.
Maka inilah beta beri balik pergi pada sahabat beta pinta baiki, beri baik-baik, beri mari ketiganya itu jika tiada boleh baiki. Lagi pun, beta pinta jam yang baik pakaian sahabat beta, barang satu jam tiga ini sahabat beta ambil taruh baiki beri baik-baik, haraplah beta akan bolehnya berguna. Pinta dengan segeranya sahabat beta beri balik mari boleh membawa warta yang baik dari sahabat beta. Jangan berputusan jalan berkasih-kasihan antara sahabat beta. Itulah dinyatakan.
Pergi surat.
No comments:
Post a Comment