Tuesday, March 31, 2015

Salinan surat Sultan Abdullah Kedah kepada Gabenor Jeneral di Benggala, 30 Ogos 1785 Tahun ha (MS40320/5 folio 4)

Surat tulus ikhlas berkasih-kasihan, muafakat yang tiada berkesudahan selagi ada perkitaran cakerawala matahari dan bulan, pada pihak bersahabat handai dan taulan, daripada Paduka Seri Sultan Abdullah Mukarram Shah yang mempunyai takhta kerajaan di negeri Kedah Darul Aman. Barang disampaikan Tuhan seru alam kepada sahabat beta, Gurnador Jenderal Raja Negeri Benggala yang akil bijaksana, telah masyhur gah perkasa perangai, yang sempurna umur, titahkan perang di laut dan di darat, terpuji nama. 


Kemudian dari itu, barang tahu kiranya sahabat beta, maka adalah mari Kapitan Light Dewa Raja maklumkan pada beta, katanya sahabat beta pinta Pulau Pinang itu, hendak beri wakil sahabat beta kapitan Light Dewa Raja perbuat tempat dibubuh (ta-nga-kaf-alif/tangga?) kompeni Raja Inggeris Pulau Pinang itu, tempat berjual beli dan baiki kapal perang serta kemudahan cahari makanan daripada air, kayu. 

Maka sudah beta nyatakan kepada kapitan itu segala kehendak beta, sampaikan pada sahabat beta. Jika sudah berbetulan dan kesukaan sahabat beta, dengan segera beri mari orang duduk di Pulau Pinang itu, barang kekurangan di dalam Pulau Pinang itu boleh beta tolong atas kadar beta segera adakan. Ahwal inilah beta nyatakan. 

Perbuat surat pada hari Selasa, pada empat likur bulan Syawal pada sanah 1199, tahun-tahun ha. Tamat al-kalam. 

No comments:

Post a Comment