Wednesday, March 11, 2015

Surat Bonda Cik Piyah Selangor kepada Anakanda Perempuan Gurnador Pulau Pinang (MS40320/1 folio 3) tentang ingatannya kepada anakandanya

Ya Qadiya al-Hajat 



Salam yang dihiasi dengan salim, doa yang diiringi dengan takzim, maka dicampur pula dengan jauhar al-nazim. Surat daripada bonda encik Piyah yang duduk Dipati Selangor, orang yang hina daripada sekalian hina, tambahan pula tiada mempunyai daya dan upaya, lagi miskin daripada sekalian miskin, lagi hina daripada sekalian itu. Barang disampaikan Allah Subhanahu Wa Taala Tuhan Rab al-Arsy al-Alim, apalah kiranya datang kepada anakanda, orang yang setiawan dan lagi dermawan, beserta beroleh taufiq dan hidayah serta sihat dan afiyat daripada Tuhan Rab al-ibad ertinya tolong dan kurnianya kepada tiap-tiap laksananya bertambah-tambah arif bijaksananya selagi ada umur zamannya. Maka bonda puan menadahkan kedua belah tangan, memintakan doa mengatakan amin, wa ya khayr (al-nasirin?), amma ba’du. 


Kemudian daripada itu mafhum kiranya anakanda daripada bonda melayangkan sekeping surat ini daripada tanda tulus dan ikhlas serasa hati bonda akan anakanda. Maka adalah perangai yang demikian itu tiadalah nama lupa dan lalai bonda kepada anakanda kepada malam dan siang, kepada segenap al-lail wa al-nahar. 

Adapun kemudian daripada itu tiada petanda hidup daripada bonda Dipati Selangor, hanya benih acar tujuh belas biji dan lagi bunga dua puluh pohon. Kemudian daripada itu, tiada apa hanya doa kepada malam dan siang kepada segenap al-lail wa al-nahar. 

Tamat. Berbuat surat ini kepada tiga likur hari bulan Rabiul Awal kepada hari rabi’ waktu duha (dewasa?). Tamat al-kalam, bi al-khair wa al-salam.

[Di belakang surat]

Ini alamat surat ini daripada Bonda Encik Piyah yang duduk Dipati Selangor, datang kepada anakanda perempuan Gurnador yang duduk di Pulau Pinang Darul Hasan, tamat.

No comments:

Post a Comment