Saturday, March 21, 2015

Surat Cunda Long Ismail kepada Francis Light (MS40320/1 folio 35) tentang kelewatan perahu berlayar kerana permintaan perahu oleh Siam

Qawluhu al-Haq Wa lahu al-Mulk 

Surat kasih sayang serta tulus dan ikhlas daripada cunda Long Ismail, barang disampaikan tuhan Allah kepada nenda Tok Gurnador Pulau Pinang yang telah termasyhur gah kepujian pada segenap negeri timur dan barat. 




Kemudian daripada ahwal akan surat nenda beri mari ini, telah sampailah pada cunda. Maka tersebut dalamnya kata fasal ambilan cunda kepada nenda itu, lama sudah tiada bawa pergi bayarkan lagi. Maka sesungguhnyalah seperti kata nenda itu dengan kerana cunda ambil dagangan itu, cunda muatkan perahu, disuruh teman-teman bawa pergi ke sebelah timur jualkan, serta cahari beli dagangan pula bawa mari, beri akan nenda. Kalau ada diberi tuhan Allah boleh labanya sedikit-sedikit dengan penolong nenda itu. Maka dikehendaki tuhan Allah pula datang huru-hara, Siam kehendaki perahu atas orang kedah. Maka jadi tergendala, tiada boleh diberi berlayar perahu-perahu itu.

Maka baharu ada senang sedikit. Maka boleh cunda beri berlayar perahu-perahu itu, berlayar lagi ia balik mari, itu pun sudah cunda suruh ikut pulang mari segera dengan sebab pada siang dan malam pun duduk cunda ini, tiada cunda lupa akan ambilan cunda pada nenda itu. Di dalam itu pun jikalau nenda kehendaki juga, sekarang ini cunda bicarakan jugalah dipinjam Salang pada orang bayar akan nenda.

Syahadan akan nenda sebutkan kata rindu dendam akan cunda, suruh cunda pergi hendak berjumpa mata, maka cunda pun sangatlah rindu dendam hendak berjumpa dengan nenda itu. Dengan sebab banyak susah kerja raja menteri, jadi tiadalah boleh cunda ulang pergi mendapat nenda kerap-kerap. Tambahan pula perintah cunda di Kedah ini banyak sangat a[n]cam fitnah dengki khianat orang, nenda pun ketahui segala perintahnya. Maka sekarang ini, cunda pun dibawa oleh kadam Dato` Bendahara pergi ke Kedah tuah jika tiada apa hal (‘ain-ra-dat/arad?/aral?) gendala daripada tuhan Allah, balik cunda inilah cunda pergi berjumpa dengan nenda ke Pulau Pinang. Ahwal inilah cunda nyatakan. 

Perbuat surat lima belas hari bulan Syawal hari Sabtu. Tamat.

[Di belakang surat]

Ini surat Wan Long Ismail

No comments:

Post a Comment