Sunday, March 8, 2015

Surat Dato Paduka Seri Indera Penghulu Batu Bahara kepada Francis Light (MS40320/1 folio 5) tentang orang putih di Pulau Berhala

Qawluhu al-Haq 



Surat tulus ikhlas kasih serta sayang suci putih hati daripada Dato` Paduka Seri Indera Penghulu di dalam Lima Laras yang tiada mempunyai daya dan upaya. Barang disampaikan Tuhan ‘Azza Wa Jalla apalah kiranya kepada sahabat kita Senyur Gurnador yang telah memerintah di dalam negeri kota Pulau Pinang lagi adil dengan murahnya, daripada melakukan berkasih-kasihan dengan segala sahabat handai taulannya yang qarib wa al-ba’id. Maka masyhurlah nama sahabat kita kepada segala negeri Barat dan Timur demikianlah adanya, wa ba’du. 

Daripada itu barang takrif kiranya sahabat kita akan hal seperti surat sahabat kita, menghendaki orang putih yang dapat di Pulau Berhala itu pun tiada kita salahi. Maka sekarang ini adalah orang putih itu kita kirimkan kepada Nakhoda Gantam. Orang putih itu empat orang, Nakhoda Gantam yang membawa dia kepada sahabat kita akan hal seperti adatnya, melainkan jikalau ada adatnya kepada sahabat kita yang mana patutnya. Melainkan sahabat kita berikan kepada Kapitan Melayu kerana ia ganti kita akan menentukan daripada barang suatunya hal ehwal di dalam negeri Pulau Pinang. Demikianlah adanya. Suatu pun tiada kiriman kita. Hanyalah niat kita kepada siang dan malam hendak bertemu dengan sahabat kita. 

Perginya surat ini kepada tujuh likur haribulan Rabiul Akhir kepada hari Jumaat. 

No comments:

Post a Comment