Nur al-Shams wa al-Qamar
Bahawa ini surat tulus ikhlas daripada kita Datuk Batuah negeri Batu Bahara, barang disampaikan Tuhan Allah kiranya kepada sahabat kita Senyur Gurnador yang memerintah Pulau Pinang.
Barang tahulah kiranya sahabat kita Senyur Gurnador akan hal surat tulus ikhlas daripada sahabat kita yang dibawa oleh Kapitan Rabsa telah sampailah kepada kita dengan selamatnya, serta mengatakan minta peliharakan orang Senyur Gurnador pergi mari dari Pulau Pinang ke Batu Bahara. Maka sudahlah kita kerjakan seperti itu.
Maka inilah kita suruhkan Kapitan Rabsa itu pulang ke Pulau Pinang. Suatu pun tiada huru-haranya dalam tangan kita akan hal seperti Senyur Gurnador menyuruhkan pergi mari dari Pulau Pinang ke Batu Bahara. Maka adalah kita orang Batu Bahara orang miskin, akan tetapi mana yang ada dalam Batu Bahara dagangan Senyur Gurnador kehendaki kita bicarakan, mana yang ada suatu pun tiada yang dipersyaratkan.
Dengan akhir kalam, hanyalah kirim tabik banyak-banyak serta tulus ikhlas daripada kita.
Perbuat surat pada dua puluh lima hari bulan Ramadhan, hari Arba’. Tamat.
[Di belakang surat]
Ini surat Dato Batuah Batu Bahara.
[Di belakang surat]
Ini surat Dato Batuah Batu Bahara.
No comments:
Post a Comment