Wednesday, March 18, 2015

Surat Encik Lu Ngak Perlis kepada Kapten Scott (MS40320/1 folio 21a) 5 April 1785 Tahun Ha tentang penghataran Nakhoda dan dagangan ke Pulau Pinang

Al-Mustahaq 


Surat ikhlas yang berkasih-kasihan, muafakat yang tiada berputusan, selagi ada perkitaran cakerawala matahari dan bulan, daripada Encik Lu Ngak yang bermakam di bandar Perlis Kota Indera Kayangan, negeri Kedah Darul Aman, datang kepada pihak sahabat saya Kapitan Scott yang istirehat di negeri Salang yang masyhur sebutannya pada antara segala laut dan darat, dan berdirilah gah kepujian pada antara mas[y]riq dan maghrib, yang senantiasa berkasih-kasihan dan setiawan pada segala negeri atas angin dan bawah angin, dan berlaku perintah kebajikan pada pihak aqtar dari segala alam, sentiasalah terpelihara pada segala ke[ti]ka? dan zaman. 

Kemudian dari itu, barang tahu sahabat saya adalah saya menyuruhkan sebuah perahu muatan dagangan Cina serba sedikit Nakhod[an?] Cina (ha-alif-ba-nga/Habang?) berlayar pergi dapatkan sahabat saya ke bandar Salang, berniaga jual beli barang kiranya dengan tolong sahabat saya daripada barang hal sakit sukarnya penyuruh saya itu. Saya harapkan sahabat saya tolong akan dia daripada genap perkaranya. 

Apakala selesailah jual beli penyuruh saya itu, pinta sahabat saya tolong segerakan kembalinya penyuruh saya itu mari ke bandar Perlis supaya diperoleh khabar yang kebajikan daripada sahabat saya. Di dalam itu, jika ada barang suatu maksud sahabat saya kadar tanggungan saya, sahabat saya nyatakan mari pada saya, boleh dibicarakan beri pergi sampaikan kehendak sahabat saya. 

Syahdan adalah hadiah saya akan sahabat saya dian sebungkus dan daun te[h] suatu peti, tiada dengan sepertinya. Umpama sehelai rumput di tengah padang, tiada (penuh/penah?) mata memandang, melainkan saya pun tabik juga banyak-banyak pada sahabat saya. 

Pergi surat ini hari Selasa lima likur bulan Jamadil Awal sanah 1199. Tamat. Tahun Ha.

[Di belakang surat]

Ini surat Cik Lu Ngak.

No comments:

Post a Comment