Saturday, March 7, 2015

Surat Francis Light Kepada Tunku Raja Pedir (MS40320/1 folio 34) 29 Mac 1789 Tahun-tahun Ba tentang dagangan dari Pulau Pinang dan meminta pinang, lada, lilin dan padi

Wa al-Qamar wa al-Syams

Surat tulus ikhlas muafakat yang tiada berkesudahan selagi ada cakerawala matahari dan bulan, daripada beta Gurnador yang memerintahkan di kota bandar Pulau Pinang, barang disampaikan Tuhan Seru Alam apalah kiranya kepada pihak sahabat beta Tunku Raja Pedir, yang akil bijaksana, telah masyhur kepujian, gah sampai ke mana, wa ba’du.



Dari itu ahwal adalah beta menyuruh sebuah kici kapitan membawa dagangan serba sedikit. Minta sahabat beta terima ambil dagangan itu, serah beri pinang dan lada dan lilin dimuat dalam kici itu. Minta sahabat beta segerakan beri berlayar balik kici itu ke Pulau Pinang, supaya boleh cahari dagangan yang lain, mana patut laku di sana muat bawa pergi. Jangan jadi berputusan pergi mari antara sahabat beta dengan beta. 


Sebermula beta minta tolong beli padi barang dua ratus koyan atau mana bolehnya dihimpun taruh. Beta pinta dengan harga jualan di sana. Apabila sudah terhimpun, sahabat beta nyata mari, boleh beta beri pergi kapal, terima ambil bayar harganya. Dan lagi barang suatu hal ehwal sakit sukar kapitan ini boleh sahabat beta tolong (fa-ba-lam-alif, pabila?). Ahwal inilah beta takrifkan, izzah sahabat bertambah-tambah.

Perbuat surat pada dua hari timbul bulan Rejab, hari Ahad, sanah 1203 tahun-tahun ba. Tamat.

No comments:

Post a Comment