Friday, March 20, 2015

Surat Paduka Maharaja Adinda Kedah kepada Francis Light (MS40320/1 folio 23) tentang penghantaran beras dan perahu, rusa dan memohon ubat

Qawluhu al-Haq


Surat kasih sayang serta tulus ikhlas dan muafakat yang (sin-dal-ya/sudi?/sedia?) daripada beta Paduka Maharaja Adinda, sampai kepada pihak sahabat beta Gurnador Pulau Pinang yang amat bijaksana pada jalan berkasih-kasihan, pada segala handai dan taulan dan pandai memerintahkan segala pekerjaan dan setiawan lagi dermawan pada segala fakir miskin. Maka tergah masyhur pada sekalian negeri atas angin dan bawah angin. Maka barang ditetapkan Tuhan langit dan bumi perangai yang demikian itu selagi ada perkisaran iaitu matahari dan bulan, jangan berubah-ubah. 

Kemudian daripada itu, maka itulah Nakhoda Husin Naina, beta suruh bawa beras dua koyan dan lembu lima ekor, bawa sampaikan sahabat beta terima ambil dan beras jualan sebuah perahu dibawa oleh Wan Long Fatah. Maka itu pun beta pinta dengan kasih sahabat beta bicara dengan harga yang serupa sedikit. 

Dan orang upahan kerja kasar-kasar seperti tebang tebas dan kerja korek temin tambak tanah, lima likur orang, ketuhanya Lebai Faqir dan Busu Miqdam, beta beri pergi pada sahabat beta kerana ada tersebut di dalam surat sahabat beta dibawa Nakhoda Husin mari hari itu, sahabat beta kehendaki orang upahan kerja buat huma dan barang-barang kerja, supaya jangan putus kasih hari sahabat pergi mari. 

Demikian lagi anak rusa yang ditinggalkan Nakhoda Husin Naina masa pergi dahulu itu pun, sekarang ini beta suruh Nakhoda Husin Naina bawa sampaikan, sahabat beta pula terima ambil, serta mudah-mudahan beta pinta kasih, ubat pulih penyakit angin dan penyakit (anggota?), kasih beri mari, jika jadi harga pun tiada beta salahkan sekalian pesan dan (ha-ya-ra/khair?) beta, nyatalah pada Nakhoda Husin Naina yang membawa surat ini. 

Buat surat hari Isnin, empat haribulan Jamadil Akhir. Tamat al-kalam. 

No comments:

Post a Comment