Wednesday, March 11, 2015

Surat Pangeran Adi Wijaya Palembang kepada Peter di Pulau Pinang (MS40320/1 folio 2) 6 Oktober 1787 tentang hubungan persahabatan dengan Palembang

Qawluhu al-Haq 


Bahawa (nun-ba-dhal/nabz?) yang (sin-dhal-ro-ta/sazrah?) yang termaktub di dalamnya tanda tulus dan ikhlas yang terbit daripada fuad al-azkiyah wa sa’adah al-abadiyyah pada menyatakan pembawa hati yang berkasih-kasihan kepada (ha-ya-dal-ya/handai) dan taulan, iaitu daripada Paduka Seri Pangeran Adi Wijaya yang bermakam di dalam negeri Palembang, dengan maka mudahan kiranya barang disampaikan Tuhan seru alam kiranya kepada sahabatnya iaitu Peter yang mempunyai perintah di dalam negeri Pulau Pinang, yang ia tuan Allah sudah tolong dengan dapat kebesaran dan kekayaan dengan kesenangan serta melimpahkan kemurahannya kepada tiap-tiap hari. Maka masyhurlah wartanya negeri kepada segala. Maka berhimpunlah dari sana dan sini segala dagang senteri. Maka mengucap syukurlah mereka itu serta meminta ampun mereka itu ke hadrat Tuhan Aziz al-Ghafur akan barang dosa mereka itu yang telah terlanjur, wa ba’du. 

Kemudian daripada itu barang tahu kiranya sahabat kita. Maka adalah kita mendengar khabar akan sahabat kita. Di dalam hal yang demikian itu, maka berbangkitlah asyik sahabat kepada hati kita hendak bersahabat berkasih-kasihan dengan sahabat kita. Maka inilah kita menyuruhkan haji Suradipa mengikut Nakhoda Ahmad mendapatkan sahabat kita akan jadi ganti kita. Seolah-olah menyampaikan asyik mahabbah kita kepada sahabat kita dengan tiada suatu tanda daripada kita kepada sahabat kita. Hanyalah semambu sepasang seumpama tiada akan jadi barang-barang gunanya. 

Kemudian daripada itu, jikalau sahabat kita suka mau bersuruhan ke Palembang membawa dagangan sedikit-sedikit barang yang patut hendaklah sahabat kita bersuruh sama-sama haji Suradipa. Serta beri surat kepada kita, boleh kita tolong pula daripada jual belinya di dalam negeri Palembang. Jikalau sahabat kita suka dengan timah atau lada nescaya boleh kita tolong belikan barang berapa yang mau kepada sahabat adanya. 

Intaha al-kalam bi al-khairi wa al-salam. Tersurat kepada empat likur haribulan Zul Hijjah kepada hari Ahad waktu jam pukul dua sanah 1201.

[Di belakang surat]

Ini surat dari Palembang.

No comments:

Post a Comment