Al-Mustahaqqah
Surat tulus ikhlas berkasih kasihan yang tia[da] berkesudahan, daripada beta Raja Cenak sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang yang arif bijaksana la[gi] pandai pada pihak bersahabat handai.
Ahwal maka adalah surat sahabat beta serta kaca air mawar tiga dan kaca air keras suatu sahabat beta serah beri mari pada Long Derga itu telah sampailah pada beta dengan [sem]purnanya, beta terima kasih daripada sahabat beta. Maka adalah beta suruh Long Derga pergi kepada Kapitan Scott pinta opium dan kapas. Maka khabar Kapitan Scott pergi ke Salang konon. Maka hendak menanti kapitan itu beri jadi berlambatanlah kerana beta hendak pergunakan opium dan kapas itu sedikit.
Inilah beta suruh saudagar Abdul Latif dan Long Derga dan Nakhoda Che Akob pergi pada sahabat beta, pinta pada sahabat beta opium yang baik-baik dua peti dan kapas yang baik empat lima bandela biar dengan harga serupa sedikit. Pinta sahabat beta tentukan harganya itu, serah beri mari pada penyuruh beta itu akan harganya, sampai opium dan kapas itu, beta serah hantar pergi tiada dengan gendalanya.
Maka beta pun jika ada kurang tanah sedikit, beta pun hendak pergi berjumpa dengan sahabat beta. Maka dalam hati beta selagi perkitaran cakerawala matahari dan bulan, tiadalah putus berkasih kasihan antara beta dan sahabat beta. Sudah sahabat beta serah opium dan kapas, sahabat beta pegang taruh surat ini. Ahwal inilah dinyatakan.
Perbuat surat pada sanah 126 tahun-tahun alif, pada dua puluh haribulan Rabi’ al-Awal, hari Arba’, tamat.
No comments:
Post a Comment