Qawluhu al-Haq
Surat kasih sayang daripada kita Saudagar Rahsia Raja di negeri Kelantan, sampai kepada sahabat beta Tuan Senyur Gurnador yang empunya perintah kekayaan dan kebesaran dalam Pulau Pinang.
Maka adalah raja kita Raja Kelantan suruh beri surat akan sahabat beta, jikalau ada kesukaan dan keredaan Tuan Senyur hendak berkasih kasihan dengan Raja beta di Kelantan ini pada perintah perniagaan. Jikalau ada kemudah-mudahan Raja beta minta Tuan beri mari kapal berniaga ke dalam negeri Kelantan ini seperti keadaan Tuan Senyur beri masuk berniaga ke dalam negeri Terengganu kerana dagangan dalam Kelantan ini lada dan emas urai.
Maka tiap-tiap tahun tiada habis lada muatkan pada wangkang. Maka jadilah Raja beta suruh memberi surat akan Tuan Senyur, minta kapal mari berniaga ke dalam Kelantan ini tiap-tiap tahun. Maka boleh beta tolong bicarakan seperti keadaan negeri Terengganu itu kerana negeri Kelantan dengan Terengganu itu tiada berapa jauh, sehari pelayaran kapal.
Boleh Tuan Senyur periksa segala orang yang bawa surat beta ini akan perintah dagangan negeri Kelantan ini. Dalam itu, jikalau suka, Tuan Senyur hendak beri mari kapal itu, minta Tuan Senyur beri mari opium dan ubat peluru dan meriam panjang-panjang empat hasta atau tengah lima hasta dan senapang kompeni yang baik-baik, lain daripada itu riyal.
Maka akan harga lada pun boleh beta tolong bicarakan beri kurang sedikit daripada harga Terengganu itu hingga setahun dua beri bebas akan Tuan Senyur. Jikalau suka Tuan Senyur hendak beri mari kapal, minta Tuan Senyur balas surat beta ini, boleh beta sembahkan pada Raja beta suruh himpun segala dalam Kelantan ini taruh, tiada Beta beri akan wangkang pada tahun itulah, beta nyatakan pada sahabat beta. Maka suatu pun tiada kiriman Beta akan sahabat kerana tiada sempat hendak cahari barang yang patut.
Perbuat surat pada tiga likur hari bulan Jamadil Awal, hari Arba’ sanah 12 tahun (wau?). Tamat.
[Di belakang surat]
Ahwal akan surat sahabat beta beri mari itu sampailah pada beta dengan sempurnanya. Maka segala yang tersebut dalamnya fahamlah beta segenap perkaranya. Maka beta ini sudah tua, tiada kapal hendak beri berlayar. Dan lagi boleh beta bicara dengan segala kapal saudagar, jikalau ia suka pergi berniaga ke negeri Kelantan. Tetapi sahabat beta tentukan harga lada dan lain-lain jenis, boleh beta nyatakan kepada segala saudagar. Inilah beta nyatakan.
Ini surat daripada Rahsia Raja di Negeri Kelantan.
Ini surat daripada Rahsia Raja di Negeri Kelantan.
No comments:
Post a Comment