Tuesday, March 31, 2015

Surat Sultan Abdullah Mukarram Syah Kedah kepada Francis Light (MS40320/6 folio 26) berkaitan rundingan dengan Jenderal Benggala

Al-Mustahaq

Surat tulus ikhlas serta berkasih sayang yang tiada berkesudahan daripada beta sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang yang aqil bijaksana, telah masyhur ke mana-mana. 



Ahwal adalah sampai surat sahabat beta dibawa teman Seri Nara Diraja. Tersebut dalamnya sahabat beta nyatakan mari datang hukum daripada Gurnador Jenderal Benggala, suruh beri selaksa riyal akan beta pada tiap-tiap tahun. Maka amat kesukaanlah beta menerima kasih daripada Jenderal. Itupun dengan penolong sahabat beta juga. 



Maka akan perintah yang telah lalu itu pun beta harap akan kasih dan penolong sahabat beta juga. Dalam itu pun tiadalah cukup lagi akan beta adukan pada sahabat beta kerana segala hal ehwal beta duduk sehari-hari ini. Jika tiada beta nyatakan pun, sahabat beta sedia ketahui. Tambahan banyak pucuk sudah beta beri surat menyatakan segala hal beta ini pada sahabat beta. 

Tatkala sampai surat sahabat beta itu pun, sudah beta suruh pergi anak beta itu Tengku Awi, ada gendala sedikit. Jadi berdan dengan surat sahabat beta. 

Syahdan tersebut dalam surat sahabat beta dua fasal, belum tentu hamba orang dan orang derhaka itu. Sahabat beta pinta wakil beta beri pergi, boleh bicara dengan sahabat beta, boleh ditentukan. Maka kerja itu pun amat kesukaanlah beta supaya jangan kesakitan isi negeri. 

Maka itulah anak beta itu beta suruh pergi. Sahabat beta berbicaralah dengan anak beta itu. Maka barang yang sudah putus rupa muafakat sahabat beta dengan anak beta itu, buat surat beri mari, boleh beta lihat. Jika barang yang ada asyqal pada hati beta, boleh beta nyatakan pergi rupa tempatnya menjadi kesakitan atas isi negeri, boleh sahabat beta fikirkan, barang yang jadi kebajikan itulah kita tetapkan. Ahwal itulah beta nyatakan. 

Pergi surat pada tujuh likur haribulan Syawal. Tamat. 

No comments:

Post a Comment