Warkah al-ikhlas serta suci putih hati iaitu daripada hadrat Maulana Paduka Seri Sultan Ibrahim yang semayam di atas takhta singgahsana kerajaan di dalam bandar negeri Selangor Darul Khusus, barang disampaikan Tuhan seru alam apalah kiranya kepada sahabat kita Gabenor yang memerintahkan negeri Kota Pulau Pinang yang amat setiawan daripada melakukan antara sahabat bersahabat serta dengan mengasihi segala orang yang miskin dagang senteri yang pergi datang. Maka, masyhurlah warta ihsannya kepada tiap-tiap negeri yang lain, wa ba’d.
Kemudian daripada itu, adalah kita menyuruhkan Nakhoda Syawal itu dengan satu sampan serta ada timah sedikit-sedikit dibawanya mendapatkan sahabat kita. Akan hal seperti surat sahabat kita yang dibawa oleh Penghulu Jeram dahulu mengatakan boleh naik-naik sedikit harga timah, melainkan sekarang ini kita pinta tentukanlah kepada sahabat kita harga timah di dalam satu bahara empat puluh delapan ringgit, supaya bolehlah kita suruh hantarkan timah kepada sahabat kita kerana kita pun sudah (berbunyikan?) dengan Raja Perak, melainkan jikalau sudah tertentu oleh sahabat kita harga timah itu, mana yang kepada kita semuanya kita hantarkan ke Pulau Pinang.
Sebagai lagi, akan hal seperti meriam dengan senapang dan bom itu, jikalau tiada pun, hendaklah sahabat tentukan supaya kita ketahui. Jikalau kan ada pun, bolehlah kita suruh ambil kerana sahabat kita pun tahulah negeri orang banyak susah, supaya jangan kita ternanti-nanti.
Sebagai lagi, seperti duit itu, melainkan lagi sekali kita menyuruh, baharulah kita ambil. Sebagai lagi, kita pinta carikan permaidani buatan Surati yang lebar empat hasta atau tiga hasta barang sepuluh helai.
Sebagai lagi, seperti ubat (bedil?) itu yang kita pesankan dahulu. Jikalau sudah ada melainkan serahkanlah kepada tangan Nakhoda Syawal itu serta dengan permaidani itu sekali.
Intaha al-kalam. Pergi surat pada dua likur haribulan Ramadhan, tarikh sanah 1201.
No comments:
Post a Comment