Thursday, March 26, 2015

Surat Yang Dipertuan Tuah Pekan Baru kepada Francis Light (MS40320/1 folio 43) 23 Ogos 1791 tentang hutang Kong Ling


Qawluhu al-Haq

Bahawa ini surat tulus dan ikhlas serta suci putih hati yang tiada berhingga dan bermasa, iaitu daripada Yang Dipertuan Tuah dalam negeri Pekan Baru, barang disampaikan Tuhan rab(uh?) al-alamin wa ya khair al-nasirin apalah kiranya kepada sahabat saya Senyur Gurnador yang ada duduk dengan istirehat al-khair dalam negeri Pulau Pinang Darul Ihsan wa al-Jinan, lagi arif budiman, lagi bijaksana pada melakukan kasih berkasihan kepada segala sahabat handai taulannya, qarib wa al-ba’id, telah masyhur warta ihsannya itu kepada segala negeri Timur dan Barat. Maka saya pun meminta kepada Tuhan seru sekalian alam, barang bertambah-tambah perangai yang kebajikan itu serta sihat dan afiat, amin ya rab al-alamin wa ba’dahu.



Kemudian daripada itu barang mafhum kiranya sahabat saya akan hal saya adalah menyuruhkan orang Cina dengan sebuah perahu pencalang, namanya Kong Ling, bermuat sagu, mendapatkan sahabat saya. Syahdan lagi ada dahulu Kong Ling dengan orang Cina, Encik Cu namanya, datang dari Pulau Pinang masuk ke Siak berniaga. Dalam itu, Kong Ling berlayar ke Melaka dan Encik Cu tinggal di Siak. Maka Encik Cu itu datang kepada saya, katanya ada Kong Ling berhutang kepada patik. Maka sahaya pun berilah surat Encik Cu itu sepucuk, jikalau ada sah hutangnya Kong Ling itu kepada Encik Cu, berikanlah surat kita ini kepada bapanya Kong Ling, Si Jang namanya, diamnya di Bukit Batu, bolehlah selesai piutang itu. 

Kemudian maka saya bertemu dengan Si Jang, saya periksa bicara itu. Maka jawabnya Si Jang, sudah patik periksa kepada Kong Ling, maka jawabnya Kong Ling sudah jelas hutang piutang saya kepada Encik Cu. Dalam itu, maka patik minta surat duli Tuanku yang kepadanya, itu pun tiada ia mahu menunjukkan kepada patik surat itu. Dalam itu Encik Cu pun berlayar ke Pulau Pinang. Demikianlah adanya. 

Syahdan lagi, seperti Kong Ling itu telah marilah saya akan tolong pelihara sahabat saya daripada sekalian ahwalnya itu. Demikianlah adanya. Kemudian daripada itu suatu pun tiada alamat al-hayat daripada saya datang kepada sahabat saya, hanyalah ada telur terubuk empat ratus (kampah?/kampit).


Tamat al-kalam, sanah 1205 kepada dua puluh tiga haribulan Zulhijjah kepada hari Selasa waktu asar.

[Di belakang surat]

King of Tuah, by Chu
Konglin, concerning a debt
Sept 14

No comments:

Post a Comment