Saturday, August 1, 2020

Surat Sultan Umar Aqamuddin Sambas kepada Francis Light (MS 40320/11, f.138) berkaitan dagangan opium dan pembelian senjata (Selasa, 21 Safar 1209 / 16 September 1794)

Qultu

Bahawa ini warqat al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas yang terbit ia daripada fuad yang hening lagi jernih iaitu daripada Paduka Seri Sultan Umar Aqamuddin yang bertahta  kerajaan dalam daerah negeri Sambas barang disampaikan Allah Subhanah wa Ta’ala apalah kiranya kehadapan majlis sahabat kita tuan Gurnador yang mempunyai perintah dan tadbir dalam daerah negeri Pulau Pinang Darul Aman mudah mudahan tuan Allah beri umur panjang serta bertambah2 kemuliaan dan kekayaan selagi ada edaran cakerawala matahari dan bulan wa ba’dah 

daripada itu barang mafhum kiranya sahabat kita akan hal warqat al-ikhlas yang diihtimalkan sahabat kita kepada Kapitan Jabsin  Manarab  telah sampailah pada kita dengan selamatnya fi sa’at al-mubarak dan pada ketika istirahat maka kita sambutlah dengan beberapa kesukaan dan keredhaan serta dibuka daripada gulung lipatan meterinya dan ditatap daripada zanib  shatarnya  maka mafhumlah kita akan barang yang termazkur dalamnya adapun fasal daripada opiun  itu melainkan kita minta kepada sahabat kita dengan harga sembilan belas tahil seperti harga yang dahulu terlebih maklumlah sahabat kita akan hal negeri kecil lagi sentiasa dalam uzur tiada siapa yang dapat tempat kita minta tolong melainkan kepada sahabat kita dan lagi kita minta tolong kepada sahabat kita opiun  yang baik barang lima puluh peti dan kita minta tolong meriam yang panjang enam hasta atau lima hasta sepuluh pasang dan seperkara lagi ada kita punya orang hendak pergi ke tanah besar ada dulapan orang kita tumpangkan kepada Kapitan Jabsin Manarab minta tolong kepada sahabat tumpangkan kepada kapal yang hendak berlayar ke barat demikianlah adanya suatu pun tiada burhan al-hayat yang disertakan kepada akhir shatar  ini hanyalah budak perempuan dua orang tamat al-kalam bi al-khair wa al-salam

Tersurat warqat ini kepada selikur hari bulan Safar kepada hari Selasa pada waktu asar hijrat al-sul  1209

No comments:

Post a Comment